BUKIT MERTAJAM : Keadaan bekas atlet jalan kaki negara, G. Saravanan, 56, yang sebelum ini dilaporkan menderita akibat penyakit berkaitan neuron motor atau MND kini semakin stabil dan beransur baik.
Isterinya, M. Sassikala, 53, berkata, suaminya sudah tidak terlalu bergantung kepada alat ventilator untuk bernafas dan hanya menggunakan alat tersebut jika perlu sahaja terutamanya pada waktu malam.
“Tetapi, jika dia hendak makan dan minum, semua masih kena guna ‘feeding tube’ (tiub makanan) lagi buat masa ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Bukit Minyak di sini, hari ini.
Terdahulu, Sassikala menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk menyantuni bekas atlet tersebut.
Sassikala yang juga ibu kepada tiga anak berkata, suaminya didiagnosis mengidap MND kira-kira lima tahun yang lalu apabila tidak boleh bercakap dan bergerak secara tiba-tiba.
“Sebelum ini, dia (Saravanan) berkhidmat sebagai jurulatih (olahraga) di MSN (Majlis Sukan Negeri) di sini. Tetapi, lepas sakit, dia hanya terlantar di rumah sahaja.
“Selain saya, tiga anak kami akan bergilir-gilir untuk menjaga ayah mereka,” katanya yang memberitahu, Saravanan kini sedang mendapatkan rawatan secara berkala di sebuah pusat perubatan swasta di Seberang Jaya bagi mengubati penyakitnya itu.
Sementara itu, Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Yakeb sentiasa prihatin terhadap nasib atlet-atlet veteran yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dahulu.
“Untuk kes melibatkan atlet seperti saudara Saravanan ini, selain bantuan tunai, kita juga sedang meneliti kos fisioterapi, perubatan dan lain-lain dan akan berusaha untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Ketika era kegemilangannya, Saravanan bukan sahaja berjaya memenangi pingat emas bagi acara 50 kilometer (km) jalan kaki pada temasya Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, malah, beliau masih menjadi pemegang rekod kebangsaan bagi acara berkenaan sehingga ke hari ini.-UTUSAN










