‘Kami tuntut keadilan, bukan balas dendam’

‘Kami tuntut keadilan, bukan balas dendam’

FAIZUL Ali Adam dan Maisarah Rosli ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, Selangor hari ini selepas prosiding jatuh hukum kes kematian anak mereka, Qaseh Aulia Faizul. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman penjara lima tahun terhadap pengasuh kerana cuai sehingga membawa kematian Qaseh Aulia Faizul pada Oktober 2023 bukanlah manifestasi dendam keluarga terhadap tertuduh tetapi keinginan menuntut keadilan.

Bapa Allahyarham, Faizul Ali Adam, 36, berkata, walaupun tiada hukuman yang mampu menggantikan nyawa anaknya yang berusia dua bulan ketika kejadian, namun keputusan mahkamah hari ini diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Bukan tujuan kami untuk membalas dendam tetapi lebih kepada ingin menuntut keadilan sepenuhnya untuk anak kami. Tujuan kami meneruskan perjuangan ini adalah supaya keputusan pada hari ini dapat memberikan kesedaran kepada pihak masyarakat di luar sana.

“Bukan tujuan kami untuk membalas dendam ataupun ingin menuntut kelebihan tetapi lebih kepada ingin menuntut keadilan sepenuhnya untuk anak kami,” katanya ketika ditemui selepas prosiding jatuh hukum di Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh Mulyati Kalim, 54, yang juga warga Indonesia dihukum penjara lima tahun selepas didapati bersalah kerana cuai sehingga membawa kematian bayi perempuan itu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Faizul berkata, pihaknya juga akan meneruskan tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska).

“Insya-Allah kami akan teruskan proses seterusnya melalui peguam pemerhati kami, Tetuan Megat Shazli,” katanya.

Dalam pada itu, isterinya, Maisarah Rosli, 36, berkata, keputusan tersebut dihormati walaupun kehilangan anaknya masih dirasai hingga sekarang.

Katanya, dia berharap insiden yang menimpa anaknya dapat menjadi titik perubahan supaya pihak berkuasa memandang serius kes melibatkan kanak-kanak di taska.

“Saya berharap semoga kes ini menjadi titik perubahan untuk pihak berkuasa pandang lebih serius kes anak-anak di taska supaya tiada lagi ibu bapa lain rasa apa yang kami rasa. Tiga tahun kami kehilangan dia. Kami tidak dapat tengok dia membesar.

“Apa yang saya boleh buat, saya pergi kubur dia hari-hari, saya berborak di kubur dia. Saya tahu dia tidak dengar. Tapi itu sahaja boleh ubat rasa rindu saya pada dia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN