KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Aedy Ashraf, menegaskan syarikat produksinya, Alpha 47 Films, memberi penekanan terhadap penelitian mendalam sepanjang pembikinan filem Tarung: Unforgiven.
Menurut Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, setiap perincian dalam naskhah tersebut diberi perhatian serius oleh barisan tenaga kreatif termasuk pengarah, Razaisyam Rashid.
Malah, katanya, trailer filem berkenaan melalui sebanyak 32 proses suntingan dan tapisan sebelum ditayangkan kepada umum.
“Ini bukan cerita rekaan. Trailer sahaja melalui 32 kali tapisan, bermakna terdapat 32 draf. Kami ambil serius setiap aspek termasuk pengarah serta penerbit bersama, Fatimah Ruzaimi yang mementingkan kesempurnaan.
“Kami percaya setiap sudut memerlukan ketelitian, termasuk dalam setiap bingkai dan babak walaupun mungkin tidak disedari penonton. Itulah seni bagi saya.
“Objektif kami adalah untuk memberi kepuasan kepada penonton dan memastikan mereka percaya terhadap produk yang dihasilkan Alpha 47 Films,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tarung: Unforgiven di Banglo 289, di sini, baru-baru ini.

Mengulas pengalaman menerbitkan filem pertama, Aedy mengakui cabaran yang dihadapi jauh lebih besar berbanding penglibatannya sebagai pelakon, sekali gus memerlukan tempoh masa yang panjang untuk membuat keputusan.
Menurutnya, naskhah Tarung: Unforgiven turut mengangkat tema kemaafan yang dekat dengan dirinya.
“Secara peribadi, saya ingin memaparkan betapa sukarnya untuk memaafkan seseorang yang pernah kita sayangi, tetapi hubungan itu terputus.
“Perjalanan memaafkan bukan mudah. Itu mesej yang cuba disampaikan melalui watak dan penceritaan. Ideanya ringkas, namun bagi yang pernah melaluinya, mereka tahu ia bukan sesuatu yang mudah.
“Filem ini berkisar tentang seseorang yang menunggu waktu terbaik untuk memohon maaf atau tidak berani melakukannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aedy berkata, pihaknya tidak sekadar mengikut arus populariti genre aksi, sebaliknya membuat kajian pasaran perfileman tempatan sepanjang sedekad lalu.
“Kita tahu penonton Malaysia gemarkan filem aksi. Sebagai penerbit, filem juga merupakan satu perniagaan. Kami di Alpha 47 Films tidak mahu menghasilkan filem sekadar memenuhi kehendak sendiri.
“Kami mengkaji data pasaran perfileman Malaysia bagi tempoh lima hingga 10 tahun lalu, dan inilah hasilnya. Matlamat peribadi saya adalah untuk menghasilkan filem aksi yang mampu menyentuh emosi penonton.
“Menerusi Tarung, saya telah menonton filem ini lebih 200 kali dan menangis sebanyak 50 kali,” katanya.
Filem Tarung: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid menampilkan barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Zul Ariffin, Bront Palarae, Sharifah Sakinah dan Amir Ahnaf.
Naskhah terbitan Alpha 47 Films dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei ini. — UTUSAN










