Kami berkenalan selepas saya tamat tempoh iddah - Diana Danielle

Kami berkenalan selepas saya tamat tempoh iddah – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Pelakon, Diana Danielle, menegaskan perkenalannya dengan kekasihnya, Bern, hanya bermula tahun lalu iaitu selepas dirinya tamat tempoh iddah.

Menurut Diana atau  Diana Danielle Danny Beeson, 35, mereka mula berkenalan dalam sebuah majlis rumah terbuka sebelum hubungan itu berkembang menjadi lebih serius.

“Sebenarnya kami mula berkenalan sejak tahun lalu, tetapi saya tidak dedahkan sebelum ini kerana bimbang timbul salah faham kononnya dia hadir ketika saya masih berkahwin.

“Kami hanya berkenalan selepas saya habis tempoh iddah. Sebelum itu, kami langsung tidak pernah kenal dan hanya bertemu di majlis rumah terbuka.

“Agak lama juga kami berkawan sebelum bersedia untuk menjadi pasangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri filem Terbang yang berlangsung di Kingston Hotel, di sini, hari ini.

Pelakon filem Imaginur itu bagaimanapun mengakui kini lebih terbuka berkongsi mengenai hubungan percintaannya sebagai tanda menghargai kehadiran lelaki tersebut dalam hidupnya.

“Dulu saya agak takut dengan pandangan orang. Sekarang, saya bangga memiliki dia sebagai pasangan.

“Dia seorang yang sangat baik dan terhormat. Ramai yang menyenangi dirinya dan saya mahu menghargai mereka yang prihatin serta menyayangi kami seperti mana saya menghargai mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Diana mendedahkan ibunya, Norsiah Ramli, sudah bertemu dengan Bern dan merestui hubungan tersebut.

“Ibu saya biasalah, sedikit ‘kepoh’ ingin tahu dengan siapa saya berkawan kerana risau.

“Namun Alhamdulillah, ibu saya menyukainya. Saya juga sudah mengenali keluarganya.

“Bagi saya, lebih baik saya terbuka supaya tidak timbul sebarang spekulasi. Malah, apabila saya berkongsi, orang pun lebih memahami,” katanya sambil ketawa.

Hadir ke majlis berkenaan dengan busana sedondon berwarna putih, Diana bagaimanapun menafikan bakal melangkah ke fasa perkahwinan dalam masa terdekat.

“Ibu saya sempat bertanya, ‘bila nak kahwin’ mungkin sebab kami berpakaian putih.

“Tetapi saya rasa kami belum sampai ke tahap itu lagi. Masih banyak masa yang diperlukan, terutama untuk saya dan anak-anak sebelum melangkah ke fasa lebih serius,” katanya.

Untuk rekod, Diana Danielle dan pelakon, Farid Kamil sah bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac 2025 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN