JPJ lancar bidaan nombor siri 'P__P' sempena 80 tahun penubuhan

JPJ lancar bidaan nombor siri ‘P__P’ sempena 80 tahun penubuhan

AEDY Fadly Ramli (tengah) pada Majlis Peluncuran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-80 di The Top Komtar, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri eksklusif ‘P__P’ sempena sambutan ulang tahun ke-80 penubuhannya tahun ini.

Penawaran khas itu sebagai simbolik memperingati lapan dekad peranan JPJ dalam pembangunan sistem pengangkutan negara serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pengenalan siri khas tersebut mencerminkan identiti, legasi dan evolusi jabatan sebagai agensi peneraju dalam sektor pengangkutan jalan raya dan nombor siri ‘P___P’ itu akan ditawarkan kepada orang awam melalui kaedah bidaan dalam talian menerusi sistem JPJeBid.

“Pendekatan ini memastikan proses yang telus, teratur dan efisien, di samping memberi peluang kepada orang ramai memiliki nombor pendaftaran bernilai tinggi mengikut kategori harga ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena pengumuman penawaran NPI itu di sini, hari ini.

Aedy Fadly berkata, bidaan akan dibuka bermula 20 April (Isnin) dan ditutup pada 24 April (Jumaat) pukul 10 malam dan keputusan bidaan pula boleh diketahui dalam tempoh 24 jam selepas penutupan iaitu pada 25 April (Sabtu).

Katanya, harga minimum bidaan ditetapkan mengikut kategori iaitu Nombor Bernilai Utama (Golden) bermula RM20,000, Premium (RM5,000), Menarik (RM2,500), Popular (RM500) dan Biasa (RM300).

Beliau berkata, semua nombor yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.

“Orang awam dialu-alukan untuk menyertai bidaan ini sebagai tanda sokongan terhadap sambutan ulang tahun ke-80 JPJ,” ujarnya.

Mengulas pemilihan siri ‘P__P’, beliau berkata, ia dipilih bersempena penganjuran Karnival Mega JPJ Madani di Pulau Pinang yang menjadi lokasi utama sambutan ulang tahun ke-80 jabatan itu.

“Huruf P itu sinonim dengan Pulau Pinang selain membawa signifikan kepada peranan JPJ dalam aspek pengangkutan dan penguatkuasaan, sekali gus mencerminkan fungsi utama jabatan ini dalam pengurusan pengangkutan jalan raya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan hampir 50,000 nombor pendaftaran akan ditawarkan dengan diskaun sehingga 50 peratus sempena Karnival Mega JPJ Madani yang dijadual berlangsung di Stadium Batu Kawan dari 24 hingga 26 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN