KUALA LUMPUR: Pempengaruh, pelakon dan penyanyi muda, Alyssa Dezek, 18, yang mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menyambung pelajaran meskipun kerjaya seninya kini semakin mengukuh.
Pemilik nama sebenar Aryanna Alyssa Mohamed Hafidz itu berkata dia sebolehnya mahu menjadi anak seni yang berilmu agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
“Dalam mengejar impian, jangan tinggalkan pelajaran. Saya ini dibesarkan dalam keluarga yang pentingkan pendidikan.
“Pelajaran menjamin masa depan. Ada orang kata SPM ini sekadar permulaan, perjalanan masih jauh. Itu menunjukkan menimba ilmu ini tidak akan pernah habis.
“Tak ada masalah menjadi artis atau pempengaruh, tapi jadilah yang berilmu dan beradab supaya dapat mennggunakan pengaruh untuk mengajak ke arah kebaikan.
“Jadilah orang yang bermanfaat kepada masyarakat,” kongsinya.
Bercerita mengenai rahsia kejayaan mendapat keputusan 9 A, Alyssa menganggap kejayaan itu sebagai anugerah Allah selepas usaha dan doa.
“Sepanjang tahun itu, saya kurangkan aktiviti berlakon. Cuma adalah beberapa kempen dan penggambaran saya lakukan.
“Saya kurangkan melayari media sosial, tidak bermain permainan video. Sewaktu penggambaran, jika ada kelapangan, saya akan mengulang kaji pelajaran.
“Memang orang sekeliling nampak betapa saya mahukan keputusan cemerlang. Tapi apa yang boleh saya katakan, ini rezeki kurniaan Allah S.W.T selepas usaha dan doa,” jelasnya.
Alyssa dalam masa yang sama tidak menafikan pola pemakanan sihat juga membantu menguatkan fikiran sekali gus meningkatkan peluang untuk pelajar mendapat keputusan cemerlang.
“Saya banyak makan buah-buahan, selain amalkan pengambilan kismis untuk kuatkan akal. Itu juga menjadi saranan mak dan ayah saya,” katanya lagi.
Alyssa dalam masa yang sama sedang merancang untuk menyambung pengajian dan dalam masa yang sama mengembangkan karier seninya.
“Saya berbincang dengan ibu bapa untuk menentukan hala tuju selepas ini. Saya sebenarnya berhasrat mahu menyambung pengajian dalam bidang perniagaan atau akaun dan kewangan. Tapi semua itu masih dibincangkan lagi.
“Kerjaya muzik dan lakonan saya tetap teruskan. Mungkin selepas ini saya berlakon drama dan keluarkan single. Tapi saya akan seimbangka dengan pelajaran,” kongsinya.










