PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia menyatakan sokongan terhadap seruan keamanan, keadilan serta penghentian kekejaman di peringkat global seperti yang disuarakan Ketua Gereja Katolik, Pope Leo susulan konflik berterusan di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun beliau beragama Islam dan rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese beragama Kristian Katolik, kedua-dua pemimpin berkongsi pendirian yang sama dalam menghargai pandangan Pope Leo.
Beliau berkata, Malaysia mengikuti rapat kenyataan Pope Leo dan menyokong sepenuhnya seruan beliau agar keamanan, keadilan dan penghentian kekejaman dapat dicapai di seluruh dunia.
“Kita mengikuti kenyataan beliau, dan kita berkongsi hasrat beliau, keinginan untuk keamanan, keadilan, serta agar kekejaman mesti dihentikan.
“Mana-mana individu yang berfikiran waras pasti menyokong pendirian tersebut, termasuk dirinya sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia secara umum.
“Saya sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia, sudah tentu menyokong pendirian yang diambil oleh Pope,” katanya dalam sidang akhbar bersama Anthony Albanese di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.
Sebelum ini, Pope Leo, yang mengetuai kira-kira 1.4 bilion penganut Katolik di seluruh dunia, menggesa pihak yang memiliki kuasa dan mencetuskan peperangan supaya memilih keamanan.
Bagaimanapun, Donald Trump mengkritik pendirian Pope Leo mengenai konflik global, serta menuduhnya bersubahat dengan musuh politik.
Anwar turut memuji pendekatan Pope Leo yang aktif berinteraksi dengan pemimpin agama lain termasuk ulama Islam di Al-Azhar, sekali gus menggalakkan dialog antara agama.
Sementara itu, Albanese berkata, beliau berpeluang bertemu Pope Leo selepas upacara pertabalan beliau kira-kira setahun lalu dan menyifatkannya sebagai seorang pemimpin yang berwibawa serta berpengaruh di peringkat global.
Menurutnya, konflik global ketika ini memberi kesan besar bukan sahaja terhadap negara terlibat, malah seluruh dunia termasuk dalam bentuk tekanan ekonomi dan kemanusiaan.
“Tragedi perang dan konflik memberi kesan kepada orang awam yang tidak bersalah. Dan dunia kini sedang merasai kesan ekonomi yang amat negatif akibat konflik ini.
“Kebanyakan rakyat mahukan keamanan dan penyelesaian melalui dialog, bukannya konflik ketenteraan.
“Kami akan terus menyokong usaha de-eskalasi dan penyelesaian melalui dialog, bukannya tindakan ketenteraan,” katanya. – UTUSAN










