Golden Destinations mula dagangan di Pasaran ACE dengan premium 8.9%

Golden Destinations mula dagangan di Pasaran ACE dengan premium 8.9%

MITA Lim (lima dari kanan) melakukan gimik mengetuk gong sempena Majlis Penyenaraian Golden Destinations Group Berhad di Pasaran Ace di Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golden Destinations Group Berhad memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 49 sen sesaham, mewakili premium 8.89 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 45 sen sesaham.

IPO kumpulan itu berjaya mengumpul RM90 juta melalui terbitan 200 juta saham baharu.

Pengarah Urusan Golden Destinations Group, Mita Lim berkata, penyenaraian berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat syarikat itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami berterima kasih atas sokongan padu yang ditunjukkan oleh pelabur sepanjang proses IPO kami.

“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pasukan dan kumpulan kerja IPO, berserta keyakinan yang diberikan oleh komuniti pelaburan terhadap model perniagaan dan prospek pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya semasa sidang media syarikat itu secara maya.

Hasil IPO akan digunakan terutamanya bagi penubuhan ibu pejabat berpusat baharu bagi memperkukuh jenama dan identiti korporat, selain menyatukan operasi syarikat serta menyokong pertumbuhan tenaga kerja.

Selain itu, dana berkenaan turut diperuntukkan bagi pengukuhan inisiatif penjenamaan, pemasaran dan promosi bagi meningkatkan keterlihatan Golden Destinations dalam industri pelancongan keluar, di samping pengembangan kehadiran geografi termasuk di Malaysia Timur serta penerokaan pasaran Singapura.

Ia turut merangkumi penaiktarafan sistem teknologi maklumat dan infrastruktur operasi bagi meningkatkan kecekapan aliran kerja serta keupayaan pengurusan data, selain modal kerja dan keperluan korporat am bagi menyokong operasi harian serta pertumbuhan masa hadapan.

Mita Lim berkata, dengan hasil IPO itu, kumpulan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk mempertingkat keupayaan operasi, memperluas kehadiran jenama serta mengembangkan tawaran pakej perjalanan yang dikurasi.

“Kami kekal komited untuk memberikan pengalaman perjalanan yang tersendiri sambil terus meluaskan kehadiran dalam pasaran perjalanan keluar,” katanya.

Mengulas mengenai kesan ketidaktentuan geopolitik terhadap operasi, beliau berkata, kira-kira 1,000 pelanggan yang dalam perjalanan ke Eropah melalui transit di Asia Barat terjejas, namun kumpulan menawarkan beberapa pilihan kepada pelanggan.

“Antaranya menukar tempahan kepada kredit, menukar destinasi ke Asia atau membuat permintaan bayaran balik,” katanya.

Beliau menjelaskan perniagaan utama Golden Destinations adalah berfokus kepada pasaran Asia, dengan sebahagian kecil pakej ke Asia Barat, manakala perjalanan ke Eropah secara terus tidak terjejas kerana penerbangan masih beroperasi.

“Yang terjejas hanya laluan transit di Asia Barat dan kami melihat ramai pelanggan beralih kepada destinasi Asia seperti Jepun, China, Korea serta rantau ASEAN,” katanya.

Mengenai impak kewangan, beliau berkata, gangguan tersebut hanya memberi kesan jangka pendek, namun sebahagiannya dapat dipulihkan apabila pelanggan menukar destinasi.

“Memang ada sedikit kerugian, tetapi apabila pelanggan beralih ke destinasi lain, ia boleh dikompensasikan. Kami berharap situasi geopolitik ini akan kembali reda dalam masa terdekat.

“Walaupun terdapat kelewatan bagi pakej ke Eropah, permintaan kekal stabil dengan pelanggan masih menunjukkan keyakinan terhadap perjalanan antarabangsa. Keselamatan kekal menjadi keutamaan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini