PETALING JAYA: Moomoo Malaysia melakar sejarah sebagai broker berlesen pertama di Malaysia yang menawarkan akses kepada dagangan pilihan saham Hong Kong di platformnya.
Pelancaran itu membolehkan pelabur tempatan untuk berdagang opsyen yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong (HKEX).
Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok berkata, langkah ini membolehkan pelabur mengakses syarikat terkemuka di pasaran Hong Kong dan China menerusi strategi dagangan yang canggih.
Menurutnya, para pelabur dapat berdagang opsyen Hong Kong pada waktu operasi pasaran Asia dan opsyen pasaran Amerika Syarikat (AS) pada waktu malam.
“Keupayaan ini menempatkan Moomoo Malaysia sebagai antara platform terpilih yang menyokong dagangan opsyen secara berterusan merentasi pasaran-pasaran global utama.
“Moomoo Malaysia menawarkan pelbagai alat bersepadu yang direka untuk meningkatkan pembangunan dan pelaksanaan strategi.
“Kemudahan ini membenarkan pengguna membina strategi opsyen melalui antara muka yang intuitif dengan sokongan analisis risiko-ganjaran yang komprehensif,” katanya dalam kenyataan.
Ivan berkata, akses pasaran masa nyata didayakan melalui sebut harga opsyen HKEX Tahap 1.
“Pelabur dapat bertindak balas dengan pantas terhadap pergerakan pasaran dari saat dagangan bermula menerusi peranti mudah alih, tablet dan komputer meja.
“Platform ini mengintegrasikan fungsi penyelidikan, pandangan pakar, dan pendidikan pelabur dalam satu ekosistem yang menghubungkan pengguna dengan lebih 29 juta ahli komuniti pelaburan global.
“Pelancaran opsyen saham ini meletakkan standard penawaran pembrokeran digital yang lebih tinggi di Malaysia,” katanya. – UTUSAN










