Inspektor polis hidap skizofrenia ditahan langgar anggota trafik

Inspektor polis hidap skizofrenia ditahan langgar anggota trafik

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan berpangkat inspektor yang menghidap skizofrenia ditahan semalam selepas menyebabkan kecederaan anggota trafik dalam kejadian di Jalan Sultan Yahya Petra, dekat sini pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.47 malam itu, mangsa, Konstabel, Roslan Salleh, 27 cedera selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Axia ketika berada di kawasan petak kuning berhampiran laluan menghala ke Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pemandu kenderaan terbabit bagaimanapun melarikan diri sejurus selepas kejadian tanpa memberikan bantuan kepada mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk luka di tapak tangan kanan dan bahagian belakang kepala serta sakit di rusuk sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan,” katanya kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, susulan risikan dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya berjaya mengesan kenderaan suspek di sekitar Jalan Cheras kira-kira pukul 3.45 petang semalam.

Katanya, cubaan menahan suspek mencetuskan insiden kejar-mengejar apabila lelaki itu bertindak melarikan diri secara berbahaya dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin.

“Sepanjang kejadian, suspek melanggar beberapa kenderaan termasuk sebuah Mercedes-Benz dan Proton Saga selain menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan MPV polis,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan pantas anggota Unit Kawalan Lalu Lintas dengan bantuan Unit MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan Brickfields berjaya menahan suspek di Jalan Empat, Chan Sow Lin.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan lelaki tempatan berusia 40 tahun yang kini sedang bercuti sakit dan dalam proses persaraan atas faktor kesihatan.

“Suspek turut disahkan mempunyai masalah kesihatan mental iaitu skizofrenia dan sedang menerima rawatan,” jelasnya.

Ujarnya, hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang barang salah manakala ujian pernafasan alkohol ke atas suspek adalah negatif. 

“Ujian saringan air kencing akan dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” ujarnya.

Fadil berkata, setakat ini, tujuh kenderaan telah tampil membuat laporan polis melibatkan lima kereta awam, sebuah MPV polis dan sebuah motosikal milik pegawai polis.

“Orang ramai yang terlibat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin atau Hotline JSPT Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN