PETALING JAYA: Polis setakat ini merakam keterangan seramai lima individu bagi membantu siasatan kejadian kes tembak dan langgar di Jalan Keretapi Lama, Kapar, Klang Utara, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya turut berjaya mengesan dua lagi saksi bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya masih giat menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk berhubung motif kejadian.
“Ada dua saksi baharu yang berjaya dikesan namun tiada tangkapan terbaharu setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, kejadian kes tembak dan langgar yang berlaku di Jalan Keretapi Lama, Kapar, Klang Utara, Khamis lalu hingga menyebabkan kematian salah seorang daripada dua suspek, dipercayai akibat salah faham.
Bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membolehkan polis mengetahui sekiranya ada motif lain yang menjadi punca kejadian.
Beliau turut dilaporkan berkata, seorang lagi suspek bermotosikal yang turut dirempuh kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, kini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Kejadian dipercayai itu berlaku ketika kedua-dua suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15, dipercayai melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja di Kampung Perepat, Kapar.
Pada masa sama, seorang pemandu kenderaan yang juga majikan kepada lelaki yang disasarkan dua suspek itu, mengejar motosikal ditunggang suspek sehingga ke Jalan Keretapi Lama.
Apabila salah seorang suspek mengacukan objek menyerupai pistol, pemandu pacuan empat roda terbabit melanggarnya sehingga mengakibatkan kedua-duanya terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar sebelum ini dilaporkan berkata, berdasarkan semakan rekod jenayah, suspek yang meninggal dunia mempunyai 23 rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah berat termasuk kes bunuh, cubaan bunuh dan samun berkumpulan, manakala rakannya mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan berstatus orang dikehendaki mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Susulan itu, lelaki berusia 49 tahun yang melanggar kedua-dua suspek ditahan untuk tujuan siasatan lanjut. – UTUSAN







