Hujan lebat: Pokok tumbang di sekitar Selangor

Hujan lebat: Pokok tumbang di sekitar Selangor

ANGGOTA Bomba tiba untuk membersihkan kawasan pokok tumbang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Height, Selayang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di kawasan Selayang dekat sini petang tadi susulan hujan lebat.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian pertama berlaku di Jalan Prima Selayang 7 berhampiran Apartment Sri Selayang sehingga menghalang laluan.

Katanya, kejadian berlaku pada  4.18 petang menyebabkan empat buah kenderaan mengalami kerosakan selepas terkena dahan pokok.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang terdiri enam orang pegawai dan anggota bersama sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi.

“Keadaan berjaya dikawal sepenuhnya 5.43 petang sebelum operasi menyelamat ditamatkan dua minit kemudian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, kejadian kedua berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Height, Selayang yang menyebabkan sebatang pokok tumbang yang turut menghalang laluan.

“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang tiba di lokasi pada pukul 5.40 petang berjaya membersihkan halangan tersebut tanpa melibatkan mangsa atau kerosakan struktur bangunan. 

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.45 petang,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, di Hulu Langat, pokok tumbang turut dilaporkan berlaku di Kampung Melaka sehingga menghalang laluan.

Bagaimanapun,  tindakan segera diambil oleh pasukan Bomba Sukarela Batu 18 dan berjaya diselesaikan dalam tempoh kira kira 45 minit.

Dua lagi insiden dilaporkan berlaku dalam tempoh kurang 24 jam di sekitar Taman Dagang dan Taman Bukit Ampang, dekat sini, hari ini apabila pokok tumbang menghalang laluan awam.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan di lokasi terjejas bagi memastikan kawasan kembali selamat digunakan.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN