ROMPIN: Krisis dalaman melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merencatkan matlamat asal parti itu untuk menggantikan UMNO sebagai entiti dominan sokongan Melayu, sekali gus menjadikan hasrat tersebut kian kabur menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, siri pemecatan dan pergantungan ahli kebelakangan ini memberi isyarat negatif terhadap imej parti itu dan menjejaskan keyakinan akar umbi.
“Ia memberi kesan langsung terhadap gerak kerja politik di seluruh negara termasuk 100 cawangan Bersatu di Pahang yang dilihat semakin perlahan dan kurang menyerlah dalam landskap politik semasa,” katanya.
Penamatan khidmat sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang berkuat kuasa bulan lalu tanpa dinyatakan sebab turut menambah tekanan terhadap imej parti itu di peringkat negeri.
“Malah ia menjejaskan kestabilan organisasi parti, seolah-olah meninggalkan kepimpinan negeri dalam keadaan tidak menentu dan penuh dilema,” katanya.
Katanya, daripada 14 bahagian Bersatu di Pahang, sembilan ketua bahagian sudah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merupakan bekas Timbalan Presiden parti itu.
Sebelum ini, Abdul Khalib dilaporkan tersenarai dalam kalangan 18 Ahli Parlimen Bersatu yang dikatakan menyatakan sokongan kepada Hamzah.
Ahli Parlimen lain turut dikaitkan menyokong Hamzah ialah Ronald Kiandee (Beluran), Zakri Hassan (Kangar), Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Khlir Nor (Ketereh), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang).
Bekas Timbalan Presiden itu dipecat daripada parti tersebut pada 16 Februari lalu selepas didakwa melanggar perlembagaan parti.
Abdul Khalib sebelum ini dilantik sebagai Ketua Bersatu Pahang pada Februari 2025 bagi menggantikan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Mengulas tentang pemecatannya, Ahli Parlimen Rompin itu berkata, beliau menerimanya dengan hati terbuka kerana pelantikan jawatan tersebut merupakan hak prerogatif Presiden Bersatu.
“Presiden berhak melantik sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai untuk memegang jawatan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










