PETALING JAYA: Kenaikan harga minyak mentah global tidak semestinya membawa keuntungan besar kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) seperti tanggapan umum.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, hakikatnya ramai yang terlupa bahawa operasi Petronas bukan hanya tertumpu kepada sektor huluan semata-mata.
“Petronas terlibat sepanjang rantaian nilai termasuk midstream dan downstream. Apabila harga minyak meningkat, kos input juga meningkat, termasuk kos pembelian minyak mentah, operasi, penapisan dan pemprosesan.
“Jadi walaupun secara zahirnya mungkin terdapat keuntungan di peringkat huluan, di peringkat pertengahan dan hiliran, kos turut meningkat dengan ketara,” katanya dalam program Bicara Naratif Khas, di TV1 hari ini.
Beliau berkata, Petronas menggalas amanah sebagai syarikat nasional untuk memaksimumkan nilai sumber hidrokarbon negara yang merupakan khazanah negara dan perlu diurus secara mampan untuk jangka panjang.
Menurutnya, bekalan tenaga yang stabil amat penting bagi menyokong aktiviti ekonomi serta kehidupan seharian rakyat.
Mengulas mengenai isu subsidi, Muhammad Taufik berkata, Petronas bukan satu-satunya pihak yang bertanggungjawab menanggung subsidi bahan api.
“Sejak penubuhan pada 1974, Petronas telah menyumbang kira-kira RM1.6 trilion kepada kerajaan. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini sahaja, lebih 20 peratus hasil kerajaan datang daripada Petronas.
“Dividen yang dibayar juga mencecah hampir 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai. Sumbangan ini membantu kerajaan membiayai perbelanjaan negara termasuk subsidi dan pembangunan infrastruktur,” katanya.
Jelas beliau, walaupun subsidi diberikan bagi melindungi rakyat, beban kewangan tetap meningkat susulan kenaikan kos pemprosesan dan penghantaran minyak di peringkat global.
“Di peringkat global, ada negara yang berdepan kekurangan bekalan sehingga terpaksa melaksanakan catuan minyak.
“Jadi kita perlu menerima realiti bahawa kos semakin meningkat dan bekalan tidak sentiasa terjamin,” katanya. – UTUSAN










