Bakat muda dalam bidang seni bina, Muhamad Haikal Haqimi Nizam, membuktikan kecemerlangan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah TVET Star PolyCC 2025 (Kategori Kemahiran), baru-baru ini.
Pelajar Diploma Seni Bina daripada Politeknik Ungku Omar (PUO) itu dipilih menerima pengiktirafan berprestij tersebut berdasarkan rekod pencapaian cemerlangnya dalam pelbagai pertandingan kemahiran di peringkat nasional dan antarabangsa.

Anak muda berusia 21 tahun itu bukanlah nama asing dalam arena pertandingan kemahiran.
Sebelum ini, Muhammad Haikal meraih pelbagai kejayaan termasuk pingat emas dalam Polyccskills 2025 Digital Construction dan pengiktirafan antarabangsa melalui pingat emas dalam Built Environment Project ProAlbi 2024.
Bagi Muhammad Haikal, anugerah TVET Star yang diterimanya baru-baru ini merupakan suntikan semangat untuk terus memartabatkan bidang seni bina di negara ini.
“Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil bimbingan pensyarah di PUO dan sokongan keluarga. Saya mahu membuktikan bahawa pelajar TVET mempunyai kemahiran yang setanding dengan standard global,” katanya.
Muhamad Haikal Haqimi Nizam
Umur: 21 Tahun
Pendidikan:
Diploma Seni Bina, Politeknik Ungku Omar (PUO)
Pencapaian Utama:
» Anugerah TVET STAR POLYCC 2025 (Kategori Kemahiran).
» Pingat Emas Polyccskills 2025 (Digital Construction).
» Pingat Perak China-Asean Education Cooperation Week (BIM).
» Finalis Asia Young Designer Awards (Ayda Award).
Selain aktif dalam aktiviti luar, Muhammad Haikal juga merupakan pelajar cemerlang dengan nilai Himpunan Purata Nilai Gred (CGPA) 3.80.
Dia mahir mengendalikan perisian berteknologi tinggi seperti Revit, AutoCAD, SketchUp, dan D5 Render, yang kini menjadi tuntutan utama dalam industri pembinaan moden.
Kehebatannya juga terbukti apabila melayakkan diri sebagai finalis dalam anugerah berprestij Ayda Award (Asia Young Designer Awards), satu pencapaian yang cukup sukar dicapai oleh pelajar di peringkat diploma.
Pengiktirafan dan Sokongan Kepimpinan Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Hajah Salmi Che Meh yang turut hadir pada majlis Anugerah TVET Star PolyCC 2025 dmenyifatkan kejayaan graduan PUO itu sebagai satu kebanggaan besar kepada institusi dan warga politeknik.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar PUO bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kemahiran praktikal bertaraf industri.
“ (Muhammad) Haikal ialah contoh terbaik bagaimana pendidikan TVET mampu melahirkan bakat yang kompetitif di peringkat global,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut juga mencerminkan komitmen PUO dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang holistik, berteraskan pendekatan hands-on serta pemupukan nilai inovasi dan kelestarian dalam kalangan pelajar.
Muhammad Haikal yang berasal dari Kampar, Perak ini bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek yang memfokuskan kepada pembangunan lestari. Projek tahun akhirnya yang bertajuk Zero Waste Market, jelas menunjukkan visinya terhadap alam sekitar.
Kemenangan tersebut bukan sahaja membawa pulang trofi dan sijil penghargaan, malah meletakkan nama Muhamad Haikal sebagai penanda aras baharu bagi pelajar TVET di seluruh negara.
Secara keseluruhannya, kejayaannya membuktikan bahawa TVET bukan sekadar laluan alternatif, tetapi landasan utama dalam melahirkan bakat profesional berdaya saing di peringkat global. –UTUSAN










