YAN: Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan ketika mengisi diesel berjumlah 150 liter menggunakan kad subsidi ke dalam tong di sebuah stesen minyak, di sini semalam.
Pemuda yang bekerja sebagai nelayan secara sambilan itu dipercayai menggunakan kad fleet milik ahli keluarganya untuk membeli diesel berkenaan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah berkata, lelaki itu ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira pukul 9 pagi dan dibawa ke Balai Polis Guar Chempedak untuk serahan kes kepada pihaknya.
“Ketika tangkapan dilakukan, lelaki warga tempatan itu sedang mengisi minyak diesel dalam tong berwarna biru yang berada di bahagian belakang lori bertutup dengan kanvas.
“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit membuat pengisian sebanyak 150 liter minyak diesel tanpa memiliki permit khas dan juga menggunakan kad fleet percayai milik ahli keluarganya,” katanya.
Tambah kenyataan itu, nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM50,880 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan kali pertama.
“KPDN Kedah memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan oleh mana-mana pihak, sama ada individu mahupun sindiket yang cuba menyeleweng subsidi negara adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara. Tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi, ” katanya. – UTUSAN










