KUALA LUMPUR: Kegiatan licik tiga premis perniagaan yang dipercayai menyimpan pelbagai produk sejuk beku, termasuk sejumlah besar daging babi yang dibawa masuk secara haram, terbongkar selepas diserbu semalam.
Sebahagian produk berkenaan disyaki diseludup dan diragui dari segi status keselamatan serta pematuhan terhadap peraturan kesihatan.
Serbuan menerusi Op Chiller Taring itu dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman di sekitar Taman Usahawan Kepong di sini.
Hasil serbuan itu, antara yang dirampas ialah karkas babi seberat 15,205.30 kilogram, daging itik sejuk beku (271.03 kg), dua peti sejuk beku, minyak masak (1,196 kg) serta tepung (110 kg).
Selain itu, sebuah premis turut disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Nilai rampasan bagi karkas babi dianggarkan mencecah RM532,185.50 diikuti daging itik (RM9,486.05), peti sejuk beku (RM2,000), minyak masak (RM2,990) dan tepung (RM330).
Secara keseluruhan, jumlah anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM546,991.50, manakala nilai sebenar dianggarkan RM541,671.50.
Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan dijalankan ekoran aduan dan risikan mengesyaki tiga premis terbabit menyimpan produk sejuk beku yang diseludup ke negara ini.
Menurut beliau, serbuan di premis pertama menemukan sejumlah besar produk babi sejuk beku yang sebahagian daripadanya dipercayai diimport tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan mendapati premis ini beroperasi secara sah namun kita menjalankan semakan lanjut ke atas produk babi sejuk beku yang disimpan di premis terbabit.
“Premis ini mengedarkan produk babi sejuk beku untuk keperluan peniaga dan pengusaha premis makanan sekitar ibu kota. Rampasan dilakukan untuk tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Mohd Zaki berkata, operasi hari ini turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tambah beliau, seramai tujuh individu termasuk tiga pekerja warga asing yang dikesan tiada dokumen sah turut ditahan dalam tiga serbuan itu termasuk warga tempatan.
Mohd Zaki berkata, pemeriksaan di premis lain turut menemukan pelbagai produk sejuk beku selain beberapa kesalahan berkaitan lesen dan permit.
“Dalam satu lagi premis perniagaan yang diserbu, pihak KPDN menemui kira-kira 40 kotak minyak masak yang disimpan tanpa kebenaran.
“Premis berkenaan didapati tidak mempunyai lesen perniagaan dan mendakwa baru beroperasi kira-kira dua tahun,” katanya.
Katanya, premis terbabit turut didapati menyimpan produk babi sejuk beku dan semakan lanjut sedang dijalankan pihak DVS untuk mengesahkan status produk sama ada ia diseludup dari negara luar atau produk tempatan.
“Dalam pemeriksaan di premis ketiga, kita menemukan sejumlah produk itik sejuk beku yang disyaki diseludup masuk dari negara China, bagaimanapun semakan lanjut sedang dijalankan oleh DVS.
“Soal siasat lanjut sedang dijalankan ke atas pemilik perniagaan terbabit termasuk daripada mana sumber produk itu diperolehi,” jelasnya. – UTUSAN











