Empire Premium tampil RM1.10 sesaham di Pasaran Utama

Empire Premium tampil RM1.10 sesaham di Pasaran Utama

NICOLE Lim (tiga dari kanan) pada majlis penyenaraian Empire Premium di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empire Premium Food Bhd. (Empire Premium) membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1.10 sesaham, mencatatkan premium 57.1 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 70 sen sesaham.

Jumlah dagangan pembukaan sebanyak 26.4 juta saham mencerminkan minat pelabur yang kukuh serta penerimaan positif pasaran terhadap penyenaraian syarikat itu.

Menerusi IPO tersebut, kumpulan berjaya mengumpul RM152.6 juta daripada penerbitan 218 juta saham biasa baharu, sekali gus mengukuhkan asas bagi fasa pertumbuhan seterusnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Empire Premium, Nicole Lim berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian penting dalam sejarah syarikat.

“Penyenaraian yang berjaya serta premium positif pada hari pertama dagangan mencerminkan keyakinan pelabur terhadap model perniagaan kami yang berdaya tahan dan potensi pertumbuhan sektor runcit.

“Dengan dana RM152.6 juta yang diperoleh, kami berada pada kedudukan kewangan yang kukuh untuk mempercepatkan pengembangan.

“Pelan pembukaan 56 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang mencerminkan komitmen untuk meningkatkan pegangan pasaran serta menyampaikan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan dan pemegang saham baharu,” katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.

Selaras strategi jangka panjang, syarikat induk kepada Empire Sushi Sdn. Bhd. itu memperincikan penggunaan hasil IPO berjumlah RM152.6 juta bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Sebanyak RM79.1 juta diperuntukkan untuk pembukaan 56 cawangan baharu di lokasi strategik bagi memperluas kehadiran pasaran kumpulan, manakala RM12.6 juta akan digunakan untuk menaik taraf serta memperbaharui cawangan sedia ada.

Kumpulan turut memperuntukkan RM52.1 juta sebagai modal kerja untuk menyokong operasi harian serta memastikan kecairan mencukupi.

Baki RM8.8 juta pula digunakan bagi menampung yuran profesional serta anggaran perbelanjaan berkaitan IPO dan proses penyenaraian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan menyasarkan pertumbuhan jualan kedai sama (SSG) tahunan antara tiga hingga lima peratus bagi cawangan berusia lebih 12 bulan.

“SSG syarikat mencapai 5.7 peratus, dengan kadar kumulatif keseluruhan 4.7 peratus bagi tempoh sembilan bulan. Purata perbelanjaan pelanggan bagi setiap resit pula adalah RM21.

“Syarikat turut menjangkakan jualan kekal stabil meskipun berdepan pelbagai sentimen ekonomi termasuk inflasi, kos bahan api dan rantaian bekalan.

“Ini membolehkan pengguna berbelanja antara RM5 hingga RM50, dengan harga purata setiap item kekal sekitar RM2.50,” katanya.

Tambah beliau, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pasaran domestik dan belum merancang untuk memasuki pasaran ASEAN dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, syarikat telah mempelbagaikan konsep dengan memperkenalkan model ‘quick dine-in’. Konsep ini telah dilaksanakan di cawangan Setia City dan akan diperluas ke Mid Valley dalam masa terdekat,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN