Pulau Pinang berjaya pulihara 389 bangunan, aset bersejarah sejak 2024

Pulau Pinang berjaya pulihara 389 bangunan, aset bersejarah sejak 2024

CHOW Kon Yeow (berdiri, tengah) bergambar kenangan semasa menghadiri sidang akhbar berkaitan Perayaan Warisan George Town 2026 (GTHC 2026) di Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 389 bangunan dan aset bersejarah di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town berjaya dipulihara oleh kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) dengan menggunakan dana berjumlah RM25 juta sejak 2024.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, usaha pemuliharaan itu melibatkan kira-kira 52 bangunan warisan Kategori I serta 300 bangunan warisan Kategori II selain penyediaan lukisan terukur bagi 35 bangunan warisan di bawah Kategori I dan sebagainya.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan nilai sejarah dan identiti unik George Town terus terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya ketika sidang akhbar sempena Perayaan Warisan George Town 2026 (GTHC 2026) di sini, hari ini.

Menurut Kon Yeow, usaha pemuliharaan tersebut akan diteruskan selepas ini dengan penyediaan lukisan terukur melibatkan 40 lagi bangunan warisan Kategori II yang merangkumi rumah ibadat, bangunan persatuan dan rumah kedai milik persendirian.

“Lukisan terukur ini bukan sekadar rekod, tetapi merupakan memori digital kepada bangunan warisan yang penting untuk kerja-kerja pemuliharaan pada masa depan, pengurusan bencana serta latihan profesional muda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan GTHC 2026 yang memasuki edisi ke-18 melambangkan kematangan Pulau Pinang dalam mengurus serta memelihara Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak pengiktirafannya dibuat pada 7 Julai 2008.

Katanya, pelbagai cabaran yang dihadapi pada tahun-tahun awal berjaya ditangani melalui pengukuhan dasar, peruntukan undang-undang, kawalan pembangunan serta kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan.

“Kita semakin yakin sebagai pengurus sebuah tapak warisan dunia kerana kita telah meletakkan pelbagai mekanisme penting termasuk undang-undang berkaitan, Pelan Kawasan Khas dan sebuah agensi khusus yang mengurus tapak ini iaitu GTWHI,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN