KUALA NERUS: Aplikasi digital MACCCampus menjadi medium terbaik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendekati penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara untuk menyebar luas pendidikan integriti dan pencegahan rasuah dalam kalangan mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, MACCCampus berfungsi sebagai aplikasi yang menjadi pusat pengurusan data dan aktiviti Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Amar).
“Ia juga menjadi platform forum akademik dan perkongsian idea dan penyelidikan antara ahli Amar di lebih 120 IPT seluruh negara,” katanya pada program Literasi Kewangan Integriti @ Antirasuah Mahasiswa di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini, hari ini.
Pelancaran aplikasi MACCCampus berkenaan disempurnakan Pro Canselor UMT, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Abd. Halim berkata, aplikasi digital itu disasar melahirkan komuniti digital dalam kalangan pelajar IPT yang mementingkan integriti dan antirasuah.
Beliau berkata, MACCampus boleh dijadikan sumber literasi maklumat dan ruang merungkai persoalan berkaitan integriti dan antirasuah.
“Saya seru seluruh mahasiswa manfaatkan aplikasi (MACCCampus) sebaik mungkin. Modul, forum dan diskusi akademik (dalam MACCCampus) adalah ruang berkongsi idea, membuat refleksi serta berdiskusi secara ilmiah,” katanya.
Beliau berharap aplikasi digital terbabit dapat menjadi pemangkin melahirkan generasi muda terpelajar yang lebih berpengetahuan dan berani membuat keputusan beretika. – UTUSAN










