Dua tan syabu cuba diseludup ke Malaysia guna feri - Utusan Malaysia

Dua tan syabu cuba diseludup ke Malaysia guna feri

ANGGOTA NSB Thailand mematahkan cubaan menghantar dua tan metrik syabu ke selatan Thailand menggunakan feri penumpang yang dipercayai mahu diseludup ke Malaysia pada Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Biro Pencegahan Narkotik (NSB) Thailand membongkar kegiatan sindiket menggunakan feri penumpang sebagai mod pengangkutan baharu untuk menyeludup dadah ke selatan negara ini dan Malaysia.

Komander NSB Thailand, Leftenan Jeneral Polis Achayon Kraithong berkata, dalam operasi kira-kira pukul 8.20 pagi kelmarin, hampir dua tan metrik syabu yang sedang dimuatkan ke dalam feri penumpang di sebuah pelabuhan di sini, dirampas.

Katanya, empat suspek rakyat tempatan berusia antara 25 dan 37 tahun ditahan bersama dua kenderaan.

Beliau berkata, walaupun destinasi akhir dadah itu masih dalam siasatan, maklumat menunjukkan ia akan dihantar ke selatan Thailand dan sebahagiannya diseludup ke Malaysia melalui perhentian feri di Pulau Koh Samui di wilayah Surat Thani.

“Siasatan mendedahkan bahawa rangkaian sindiket terbabit menggunakan kaedah pengangkutan baharu bagi mengelak pusat pemeriksaan darat. Mereka menerima dadah itu dari Lopburi dan Phetchabun sebelum menyimpannya di Prachinburi.

“Dari sana, mereka memindahkannya ke pelabuhan di Bangkok untuk memuatkan pikap ke atas feri ke Koh Samui atau Don Sak, sebelum mengedarkannya ke selatan seperti wilayah Phatthalung dan sebahagiannya diseludup ke Malaysia.

“Maklumat menunjukkan sindiket terbabit beberapa kali menggunakan feri penumpang untuk menyeludup dadah. Susulan itu, NSB dan perisikan tentera melakukan intipan untuk memerangkap sindiket terbabit,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Achayon berkata, sindiket sebelum ini menggunakan jalan darat tetapi pergerakan mereka kerap dipatahkan.

Menurutnya, NSB Thailand percaya sindiket terbabit memanipulasi perayaan Songkran yang sedang berlangsung untuk membawa sejumlah besar dadah menggunakan feri penumpang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN