Dua beradik tercicir sekolah akan tinggal di asrama SK Panglima Awang

Dua beradik tercicir sekolah akan tinggal di asrama SK Panglima Awang

MUHAMAD Rizhan Rizqi (dua kiri) dan Muhamad Raiqal Rayyan (dua kanan) akan mula bersekolah pada Ahad ini di SK Panglima Awang di Padang Terap, Kedah - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua orang adik beradik yang tercicir sekolah di Naka, Padang Terap akan ditempatkan di asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Panglima Awang, dekat Kuala Nerang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, kanak-kanak berusia lapan dan sembilan tahun itu akan tinggal di asrama bagi memudahkan mereka menjalani sesi persekolahan berikutan masalah dihadapi keluarga berkenaan.

“Isu berkaitan keciciran yang dialami dua kanak-kanak ini memang dalam pengetahuan JPN Kedah. Pada 2023, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Prasekolah dan Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah telah melawat kediaman waris bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Usaha telah dibuat ketika itu untuk membantu mendaftarkan kanak-kanak berkenaan ke sekolah, tetapi pihak waris tidak mengambil tindakan lanjut seperti yang dinasihatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar ini tentang nasib dua beradik, Muhamad Rizhan Rizqi, 9, dan adiknya, Muhamad Raiqal Rayyan, 8, yang tercicir sekolah sejak lahir ekoran kesukaran hidup dihadapi ibu mereka.

Ujar Abdul Rahim, dua beradik itu akan mula bersekolah pada Ahad depan setelah pihak PPD Padang Terap mengunjungi semula keluarga itu bagi memastikan keperluan persekolahan dapat dipenuhi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Agihan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Mohamad Suraidi Saad berkata, pihaknya akan mengenal pasti bentuk bantuan sesuai yang akan disalurkan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Katanya, LZNK mempunyai program pembangunan asnaf yang memfokuskan kepada pemerkasaan ekonomi melalui latihan kemahiran, bimbingan keusahawanan dan perniagaan yang mampu membantu keluarga itu.

“Kita selesaikan dulu masalah persekolahan anak-anak, selepas itu kita akan lihat kemahiran yang dimiliki. 

“Sebelum ini dia pernah berniaga, jadi mungkin kita boleh sediakan keperluan untuk dia berniaga dan mencari sumber pendapatan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN