PUTRAJAYA: Pengurusan banjir di negara ini kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada longkang, empangan atau pam air, sebaliknya ditentukan penggunaan data dan teknologi pintar untuk bertindak lebih cepat sebelum air naik.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, fokus utama bukan lagi sekadar pembinaan longkang, empangan atau benteng, tetapi bagaimana mesin, sensor dan algoritma ‘berfikir’ untuk membuat keputusan lebih pantas berbanding manusia ketika krisis.
Beliau berkata, sistem hidromekanikal kini telah berubah daripada peralatan sokongan kepada ‘otak kedua’ dalam pengurusan air negara.
“Pendekatan lama yang bergantung kepada operasi manual dilihat semakin tidak relevan, khususnya apabila perubahan iklim menjadikan corak hujan sukar dijangka.
“Dalam situasi kritikal, kelewatan beberapa minit boleh menentukan sama ada sesuatu kawasan itu selamat atau ditenggelami air,” katanya ketika berucap merasmikan Mechanical and Electrical on Water Symposium (MEWS) 2026 di sini hari ini.
Katanya, banyak kejadian banjir sebelum ini menunjukkan kelemahan bukan pada struktur fizikal, tetapi pada kegagalan sistem bertindak pantas akibat kekurangan integrasi teknologi.
Abdul Rahman berkata, sebagai contoh, penggunaan pam bergerak yang mampu dipindahkan ke lokasi ‘hotspot’ dalam tempoh singkat telah terbukti mengurangkan kesan banjir, namun tanpa data tepat, penggunaannya masih bersifat reaktif.
“Kini, dengan integrasi kecerdasan buatan dan analisis data masa nyata, sistem mampu meramal kenaikan paras air lebih awal dan mengaktifkan mekanisme kawalan secara automatik.
“Ini bermakna, masa depan pengurusan banjir mungkin tidak lagi bergantung kepada jumlah aset fizikal, tetapi kepada sejauh mana negara mampu membina sistem ramalan yang pintar,” katanya.
Lebih menarik, katanya, perubahan ini turut membuka dimensi baharu terhadap peranan jurutera yang bukan lagi sekadar penyelenggara mesin, tetapi menjadi penganalisis data dan pembuat keputusan strategik.
Jelasnya lagi, seiring Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040, pendekatan ini dilihat sebagai ‘revolusi senyap’ yang berpotensi mengubah landskap pengurusan bencana negara tanpa disedari rakyat.
“Pengurusan sektor air negara terus diperkukuh melalui pemanfaatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan pintar yang membolehkan analisis data
dilaksanakan secara masa nyata,” katanya. – UTUSAN










