PETALING JAYA: Susulan kejayaan filem biopik ‘King of Pop’, Michael Jackson bertajuk Michael, peminat seni tanah air kini berharap agar sebuah filem khas yang mengangkat perjalanan legenda seni, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, dapat direalisasikan.
Kisah hidup Sudirman yang digelar ‘Penghibur Nombor Satu Asia’ itu dilihat berpotensi besar untuk memberi inspirasi kepada masyarakat, di samping merakam perjalanan jatuh bangun beliau sebagai anak seni.
Seiring dengan perbincangan yang semakin rancak di media sosial, nama pelakon Que Haidar disebut-sebut sebagai calon paling layak menggalas watak Sudirman, memandangkan struktur wajah dan personalitinya yang dikatakan mirip dengan arwah.
“Kalau Hollywood boleh beri ruang kepada ikon mereka, kenapa kita belum ada naskhah berkualiti tentang Sudirman? Kita mahu lihat bagaimana seorang graduan undang-undang menganjurkan konsert di Chow Kit yang pernah menyatukan rakyat Malaysia,” tulis seorang peminat.
“Kalau Amerika Syarikat ada filem Michael, kenapa Malaysia tidak menghasilkan filem biopik Sudirman?” ujar seorang lagi pengguna.
Selain Que Haidar, antara nama lain yang turut dikaitkan untuk membawa watak tersebut ialah penyanyi, Amir Masdi dan pelakon, Fimie Don.
Terdahulu, Sudirman menghembuskan nafas terakhir di kediaman kakaknya di Bangsar pada usia 37 tahun akibat radang paru-paru.
Antara kejayaan ikonik arwah termasuk penganjuran konsert percuma di Jalan Chow Kit yang disaksikan lebih 100,000 penonton pada 15 April 1986.
Beliau turut mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai ‘Penghibur Nombor 1 Asia’ pada acara Salem Asian Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989. — UTUSAN










