Kerajaan perkenal program mentor-mentee perkasa sastera

Kerajaan perkenal program mentor-mentee perkasa sastera

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan program mentor-mentee yang diselia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama sasterawan negara bagi memperkukuh ekosistem kepengarangan dan melahirkan lebih ramai bakat muda.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memartabatkan bidang sastera negara dan tidak terhenti dengan sekadar memberi penganugerahan semata-mata.

“Ini akan disusuli dengan satu lagi komitmen yang berterusan melalui sebuah program yang akan terus mengukuhkan bidang sastera negara.

“Kita melihat kepada satu komitmen penting untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam mengukuhkan ekosistem kepengarangan, iaitu program mentor-mentee yang akan diselia secara langsung oleh sasterawan negara,” katanya menerusi sidang akhbar pemakluman penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16 di sini hari ini.

Pada pengumuman itu, tokoh kesusasteraan Melayu moden, Abdul Rahman Napiah atau nama penanya, Mana Sikana dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16, sekali gus dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, program mentor-mentee tersebut akan melibatkan tokoh sasterawan negara seperti Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan dan Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari dalam membimbing penulis baharu secara berterusan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan bakat muda dapat digilap secara sistematik sekali gus menjamin kelangsungan dan kegemilangan sastera Melayu.

“Jadi melalui ekosistem yang tersusun, bakat muda pengarang ini akan dapat kita pupuk daripada peringkat muda dan menjamin kelangsungan dari segi kegemilangan sastera Melayu itu sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN