CALIFORNIA: Penyanyi, Justin Bieber, mencuri tumpuan semasa persembahan di festival muzik terbesar dunia, Coachella dengan menyanyikan semula lagu lamanya miliknya.
Bieber, 32, memilih konsep sederhana namun unik dengan menyanyikan lagu nostalgianya sambil duduk di hadapan komputer riba, diiringi video muzik lama seperti Baby dan Never Say Never.
Gaya persembahan Bieber dikatakan sebuah penghormatan kepada platform YouTube yang menjadi titik permulaan kariernya.
Lebih mengimbau kenangan, beliau turut menayangkan video rakaman lama yang pernah melonjakkan namanya dalam industri muzik seawal usia 12 tahun, selain berinteraksi dengan komen peminat secara langsung sepanjang persembahan.
Kehadirannya di Coachella merupakan persembahan terbesar buat Bieber dalam tempoh empat tahun selepas dia terpaksa membatalkan jelajah dunia Justice susulan masalah kesihatan menghidap sindrom Ramsay Hunt yang menyebabkan lumpuh pada bahagian wajah.
Memulakan persembahan secara solo di pentas kosong, Bieber membawakan lagu daripada album terbaharunya, Swag dan Swag II, sebelum mengajak penonton “mengembara” menelusuri katalog lagu lamanya.
Turut mencuri perhatian ialah penayangan klip tular yang sebelum ini mencetuskan spekulasi mengenai keadaan mentalnya, memaparkan Bieber berdepan seorang jurugambar dengan kenyataan tegas.
Walaupun tampil dengan konsep minimalis, Bieber tetap memeriahkan pentas dengan kehadiran artis jemputan seperti The Kid Laroi, Wizkid, Tems dan Dijon.
Persembahan tersebut dilihat berbeza ketara berbanding artis utama malam sebelumnya, Sabrina Carpenter, yang tampil dengan konsep Hollywood lengkap dengan pertukaran kostum, koreografi dan rekaan pentas yang lebih dramatik.
Festival Coachella yang berlangsung selama dua hujung minggu di padang pasir California itu dijangka terus meriah dengan kemunculan bintang pop Colombia, Karol G sebagai artis utama pada hari berikutnya. -UTUSAN










