ALOR SETAR: Kaedah Tabur Terus Kering (TTK) yang disyorkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebelum ini tidak lagi relevan untuk diteruskan memandangkan keadaan tanah sawah kini mula menerima bekalan air hujan yang mencukupi untuk memulakan fasa penanaman seterusnya.
MADA dalam kenyataan memaklumkan, perubahan keadaan cuaca semasa mula menunjukkan tanda-tanda positif di kawasan lapangan dan berdasarkan rekod terkini sehingga semalam, purata taburan hujan di seluruh Kawasan Muda telah mencatatkan bacaan sebanyak 122mm.
Bagaimanapun, agensi itu mengingatkan bahawa situasi bekalan air secara keseluruhan masih berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Walaupun hujan berlaku di kawasan bendang, kedudukan takungan air di tiga empangan utama iaitu Empangan Pedu, Muda dan Ahning masih pada tahap rendah dan belum mencapai kapasiti selesa untuk menyokong sepenuhnya pengairan tanaman padi.
“Memandangkan MADA tidak dapat membekalkan sokongan air pengairan dari empangan buat masa ini, para pesawah disaran beralih semula kepada kaedah penanaman Tabur Terus Dalam Air atau Tabur Terus Basah dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber air hujan sedia ada di lapangan,” katanya di sini hari ini.
Berdasarkan data terkini, jumlah keseluruhan takungan di tiga empangan itu hanya mencatatkan 481,157 ekar kaki atau bersamaan 39.22 peratus.
Empangan Pedu berada pada paras 39.90 peratus atau 349,145 ekar kaki; Empangan Muda pada 10 peratus atau 12,500 ekar kaki dan Empangan Ahning pada tahap 52.91 peratus atau 117,994 ekar kaki.
Sementara itu, MADA menggesa para peladang mengamalkan sikap berhemah menguruskan setiap titisan air di petak sawah dan perlu segera menyelenggara serta membaiki batas sawah masing-masing bagi memastikan air hujan dapat ditakung secara efektif.
“Selain itu, pemantauan rapi terhadap pintu air masuk dan keluar juga perlu dipertingkatkan bagi menjamin kecekapan penggunaan air di peringkat lapangan.
“Pihak MADA juga ingin mengingatkan para pesawah mengenai beberapa risiko yang perlu ditangani dengan teliti apabila bekalan air terhad dan bergantung sepenuhnya kepada hujan. Ini termasuk kemungkinan berlakunya infestasi rumpai serta ancaman serangan perosak seperti tikus dan kutu trip,” katanya.
Ujarnya, kegagalan menguruskan risiko berkenaan boleh menjejaskan hasil keseluruhan pengeluaran bagi musim ini. – UTUSAN










