Cabaran persepsi, naratif ancaman besar perangi rasuah

Cabaran persepsi, naratif ancaman besar perangi rasuah

AZAM Baki ketika ditemui di Majlis Malam Anugerah Media SPRM yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cabaran mengurus persepsi dan naratif kini menjadi antara ancaman terbesar dalam usaha membanteras rasuah apabila penjenayah cuba menutup kesalahan demi kepentingan diri sendiri.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, keadaan itu semakin membimbangkan kerana ia mempengaruhi kepercayaan masyarakat terhadap institusi negara.

Katanya pelbagai cara dilakukan untuk mengaburi kebenaran termasuk menimbulkan keraguan terhadap institusi dan menyebarkan dakwaan tidak berasas secara berulang.

“Dakwaan yang tidak benar itu sering diulang sehingga dilihat seperti fakta, manakala maklumat sahih pula tenggelam dalam kebisingan maklumat yang mengelirukan masyarakat,” katanya pada Majlis Malam Anugerah Media SPRM yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel, hari ini.

Dakwaan tidak berasas yang berulang boleh menghakis kredibiliti institusi sekali gus memberi kesan terhadap usaha memerangi rasuah secara berkesan

Justeru peranan media amat penting dalam memastikan maklumat disampaikan kepada masyarakat, tepat dan tidak dipengaruhi naratif tidak berasas.

“Usaha meningkatkan keyakinan itu tidak boleh digalas kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat.

“Tanpa penyampaian maklumat yang jelas dan berfakta, persepsi negatif akan terus mempengaruhi pandangan pihak luar serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak khususnya pengamal media supaya terus memainkan peranan penting dalam menangkis naratif tidak berasas serta memperkukuh kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN