TAPAH: Operasi mencari pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Sabtu minggu lalu diteruskan hari ini dengan 50 individu termasuk malim gunung.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, setakat pukul 9.01 pagi tadi, seramai enam anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, dua Team Pelindung (Perhilitan), lima anggota Jabatan Perhutanan dan tiga malim gunung menyertai gerakan mencari Jaslinda.
“Kesemua mereka dihantar masuk melalui pesawat AW139 ke puncak Gunung Batu Putih dan titik pengangkatan udara baharu (winching point) terbaharu iaitu Kem Kantoi.
“Team Pelindung bersama pasukan penyelamat akan pergi mengambil cip kamera pengawasan di sekitar lokasi laluan bagi memantau sekiranya mangsa dapat dikesan melalui laluan kamera pengawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, jumlah keanggotaan pasukan penyelamat terkini yang dihantar setakat hari ini ialah seramai 16 orang.
Ujarnya, pasukan sedia ada yang berada di lokasi pencarian (pasukan semalam) berjumlah 24 orang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 50 orang hari ini.
Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan seorang malim gunung di Kem Batu Core.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN










