PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu mempertimbangkan penggunaan teknologi penyelenggaraan ramalan bagi mengesan tanda-tanda awal kerosakan pada infrastruktur rel.
Presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Ir. Yau Chau Fong berkata, pendekatan penyelenggaraan berasaskan jadual semata-mata tidak lagi mencukupi bagi memastikan tahap keselamatan yang optimum, terutama apabila sistem rel beroperasi pada kapasiti yang tinggi setiap hari.
Katanya, kejadian tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir menunjukkan keperluan sistem pemantauan yang lebih canggih seiring peningkatan usia aset dan kekerapan penggunaan rangkaian rel negara.
“Kebergantungan semata-mata kepada pemeriksaan manual dan jadual tetap berdasarkan masa atau jarak perjalanan tidak lagi mampu menjamin keselamatan apabila tren yang semakin berusia beroperasi pada kekerapan tinggi dan kapasiti maksimum.
“Masa depan keselamatan transit memerlukan peralihan kepada Penyelenggaraan Ramalan (Predictive Maintenance) melalui penggunaan sensor masa nyata bagi mengesan dan membaiki kehausan infrastruktur sebelum ia menyebabkan gangguan sistem,” katanya dalam satu kenyataan.
Khamis lalu, media melaporkan perkhidmatan tren Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan selepas sebuah tren tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan di Stesen Chan Sow Lin.
Gangguan tersebut menyebabkan sebuah tren tidak dapat bergerak sekali gus menjejaskan jadual perjalanan tren di laluan berkenaan.
Tambahnya, pelaksanaan audit keselamatan bebas diperlukan bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap tahap keselamatan sistem pengangkutan rel selain memastikan setiap risiko teknikal dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
“IEM menggesa audit keselamatan berkala dan bebas dikendalikan oleh profesional kejuruteraan rel luar yang terpisah sepenuhnya daripada pengurusan operasi.
“Audit tersebut perlu menilai secara menyeluruh tekanan antara landasan dan tren, tahap kehausan struktur serta risiko tersembunyi dalam sistem.
Dalam pada itu, pihaknya bersedia menggerakkan kepakaran yang dimiliki bagi membantu pasukan petugas khas MOT dalam meneliti aspek teknikal dan keselamatan susulan insiden tersebut. – UTUSAN










