Bersara sertai kejohanan Wushu, Sandra Lim manfaatkan pengalaman dalam lakonan - Utusan Malaysia

Bersara sertai kejohanan Wushu, Sandra Lim manfaatkan pengalaman dalam lakonan

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon meningkat naik, Sandra Lim, 25, gembira kerana berpeluang mempamerkan kemahiran Wushu yang dipelajarinya selama ini menerusi filem Melayu pertama lakonannya, Gayong 2.

Kata Sandra, dia benar-benar tidak menyangka pengalaman dalam bidang sukan tersebut masih dapat terus dimanfaatkan meskipun dia kini tidak lagi aktif menyertai sebarang pertandingan.

“Saya mempelajari seni bela diri ini sejak berusia 10 tahun, mula menyertai kejohanan kebangsaan di usia 13 tahun dan kemudian kejohanan antarabangsa di usia 16 tahun.

“Atlet Wushu perlu bersedia untuk berhadapan dengan kecederaan jika berhasrat untuk sertai pertandingan. Saya tidak lagi mampu menanggung semua itu, maka saya berhenti daripada menyertai sebarang kejohanan.

“Tapi, saya masih boleh manfaatkan ilmu yang saya pelajari itu dalam bidang lakonan, tunjukkan kemampuan dalam layar lebar,” kongsinya semasa tayangan dan sidang media filem Gayong 2 baru-baru ini.

Berkongsi tentang pembabitan dalam filem Gayong 2, Sandra menyifatkan peluang yang diberikan kepadanya umpama sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.

“Gayong 2 merupakan filem aksi. Sebagai pengamal Wushu, saya dapat bereksperimentasi dengan kemahiran yang saya miliki menerusi babak-babak pertarungan dalam filem ini.

“Semua babak aksi membabitkan saya dalam Gayong 2 adalah lakonan sendiri tanpa bantuan pelakon ganti.

“Saya gembira kerana berpeluang menunjukkan kebolehan ini dalam lakonan. Setiap aksi yang saya tunjukkan menerusi filem ini adalah atas usaha saya sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN