GEORGE TOWN : Bekas pemain sepak takraw Pulau Pinang, Muhamad Fauzan Ikhwan Mohamed Hussain, 25, menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas terlantar hampir dua tahun akibat ditimpa kemalangan jalan raya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), tengah hari tadi.
Abang kepada Allahyarham, Muhamad Fauzi, 31, ketika dihubungi berkata, adiknya itu terpaksa dibawa ke hospital selepas mengalami jangkitan kuman pada luka ‘bedsore’ di bahagian belakang badannya.
“Arwah adik saya meninggal dunia lima hari selepas ibu kami, Khalijah Said, 63 pergi buat selama-lamanya akibat sakit kronik, Jumaat lalu,” katanya, sebak.
Utusan Malaysia sebelum ini pernah berkongsi kisah sedih yang menimpa Muhamad Fauzan selepas pemuda itu ditimpa kemalangan motosikal akibat ‘microsleep’ di Jalan Gottlieb, pada 2024.
Akibat daripada kemalangan itu, dia yang pernah bekerja sebagai kakitangan kontrak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengalami kecederaan parah di kepala hingga tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

Meskipun terlantar di atas katil hampir sepanjang masa, Muhamad Fauzan beruntung kerana ibunya, Khalijah, sentiasa berada di sisi walaupun kudung kaki kanan akibat jangkitan kuman dan terpaksa berkerusi roda pada masa itu.
Dalam pada itu, Muhamad Fauzi memberitahu, jenazah Muhamad Fauzan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Gelugor di sini, selepas solat Isyak nanti.-UTUSAN










