MEKAH: Bermula daripada hasrat untuk menyantuni tetamu Allah agar dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang, mendorong bekas pemain bola kebangsaan menyediakan hidangan bercita rasa tempatan di Tanah Suci.
Menurut Hairudin Omar, idea itu tercetus ketika beliau sendiri menunaikan umrah dan melihat kesukaran jemaah Malaysia mendapatkan makanan yang menepati selera mereka.
“Bila datang umrah, saya jumpa ramai jemaah yang susah nak cari makanan Melayu di Mekah. Dari situ timbul keinginan untuk bawa cita rasa Malaysia ke sini.
“Jadi tidak lama kemudian saya buka restoran di Tanah Suci yang menjual makanan cita rasa Malaysia seperti nasi lemak, roti canai, asam pedai dan sebagainya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Hairudin mengakui bukan mudah untuk mengusahakan perniagaan makanan di luar negara khususnya di Arab Saudi apabila pelbagai syarat ketat perlu dipatuhi termasuk aspek keselamatan makanan dan spesifikasi dapur yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, katanya, niat utama adalah untuk membantu jemaah mendapatkan makanan yang selesa dan sihat sepanjang berada di Tanah Suci.
“Ini bukan sekadar perniagaan, tetapi lebih kepada usaha menyantuni jemaah supaya mereka dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang,” katanya.
Mengulas lanjut, Hairudin berkata, hampir 100 peratus menu yang disediakan mengekalkan cita rasa Malaysia antaranya nasi dagang, nasi lemak, asam pedas dan roti canai sekali gus dapat mengubati kerinduan jemaah terhadap masakan tanah air.
“Mereka datang untuk menunaikan haji, sudah tentu rindukan masakan Malaysia. Jadi kita cuba bantu supaya mereka tidak terlalu terasing dan masih boleh fokus kepada ibadah,” jelasnya.
Bagi memastikan kualiti makanan terjaga, beliau membawa tiga tukang masak dari Malaysia dan semua hidangan disediakan di dapur berpusat.
Pada masa sama, katanya perniagaan itu turut membekalkan makanan kepada beberapa hotel penginapan jemaah.
Katanya, beliau dimaklumkan terdapat jemaah yang hanya disediakan makanan tengah hari dan malam, sekali gus mendorongnya menyediakan pilihan tambahan termasuk sarapan.
“Setiap hari kita sediakan menu berbeza seperti nasi kerabu, pelbagai jenis lauk kampung dan hidangan tradisional lain,” katanya.
Katanya, beliau turut menjual barangan keperluan seperti kicap, mi segera dan sambal bagi memenuhi keperluan jemaah. – UTUSAN
.










