Kerajaan dalam proses memodenkan aset TLDM

Kerajaan dalam proses memodenkan aset TLDM

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementeri­an Pertahanan sedang dalam proses memodenkan aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk melalui pembinaan kapal peronda generasi baharu bagi memastikan kesiapsiagaan dan ke­upayaan tempur maritim negara diperkukuh.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui terdapat aset-aset TLDM yang usang tetapi katanya, proses pemodenan sedang berjalan termasuk pembinaan kapal peronda pesisir, kapal tempur pesisir (LCS) yang dijadual mula diterima hujung tahun ini.

“Kita memang ada aset usang dan kita juga bernasib baik kerana tidak ada konflik dan peperangan. Walaupun begitu, kita sedang dalam usaha untuk memodenkan kapal-kapal kita.

“Semua sedia maklum bahawa kita sedang dalam proses membina kapal-kapal kombat, LCS di mana yang pertama akan kita terima menjelang akhir tahun ini.

“Yang lain-lain itu sedang dibina dan pengantarannya mengikut jadual,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha kelmarin bahawa cabaran aset usang dihadapi TLDM ketika ini menjejaskan keupayaan tempur serta sistem penyelenggaraan maritim negara, sekali gus memberi impak kepada kesiapsiagaan operasi maritim.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain pembinaan lima kapal LCS, kerajaan juga sedang membangunkan tiga kapal kapal misi pesisir (LMS) kumpulan kedua di mana penghantarannya di­jangka bermula tahun hadapan.

“Ya, kapal kita banyak yang sudah tua dan usang, tetapi bukan bermakna kita tidak ada proses memodenkannya.

“Kita doakan krisis yang kita hadapi boleh berakhir dengan segera supaya usaha-usaha memodenkan angkatan tentera dapat kita teruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN