GEORGE TOWN: Kira-kira 500 peminat bola sepak berhimpun di Pusat Rekreasi dan Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menemui bekas bintang Arsenal dan Real Madrid, Mesut Ozil dalam dua program khas, hari ini.
Selain sesi Meet and Greet With Fan Club, Ozil yang juga bekas anggota skuad Piala Dunia Jerman 2014 turut meluangkan masa menghadiri klinik bola sepak yang dianjurkan pusat sukan universiti tersebut,
Terdahulu, Ozil ditemu bual secara santai oleh pengulas sukan, Zainal Abidin Rawop sambil disambut oleh sorakan daripada peminat-peminat beliau.
Hadir sama pada sesi santai itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Timbalannya, Adam Adli Abdul.Halim.
Ozil kini berada di negara ini sempena program Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye berkaitan Pendidikan Tinggi.
Menurut Ozil, sepanjang berada di Malaysia, beliau amat menggemari makanan yang terdapat di sini khususnya makanan pedas.
“Saya diberitahu bahawa banyak makanan sedap di sini. Jadi, saya harus cuba. Tapi, buat masa ini memang saya sukakan makanan pedas,” kata pemain berdarah Turkiye itu.
Mengulas mengenai dirinya sebagai seorang bekas bintang bola sepak pula, Ozil berkata, matlamat beliau ketika berada di atas padang adalah untuk membantu rakan sepasukan dan mencapai sasaran yang yang ditetapkan.
“Saya benar-benar menikmati masa di atas padang kerana itulah yang paling saya lakukan dan paling saya minati. Saya menikmati masa di Real Madrid dan Arsenal sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










