KADANG-KADANG, manusia terlalu cepat hilang sabar dalam perkara besar tetapi terlalu mudah memberi percaya dalam perkara kecil.
Itulah asas kehidupan bermasyarakat yang semakin hari semakin pudar, iaitu kepercayaan yang beradab.
Amanah itu menuntut dua perkara iaitu percaya dan intabih (berhati-hati). Percaya tidak bermaksud kita menutup mata, manakala intabih tidak bermaksud kita menjadi terlalu curiga. Kedua-duanya perlu bergerak seiring.
Masalah masyarakat hari ini bukan kekurangan ilmu semata-mata tetapi kegagalan menyeimbangkan antara percaya dan curiga. Ada yang terlalu percaya hingga menerima semua perkara tanpa soal.
Ada pula yang terlalu curiga hingga menolak segala-galanya walaupun belum tentu salah. Kedua-dua ekstrem ini akhirnya merosakkan keharmonian.
Dalam konteks rakyat dan pemimpin, situasi ini lebih ketara. Apabila rakyat memilih pemimpin, mereka sebenarnya menyerahkan amanah besar untuk mengurus negara.
Namun, belum sempat proses berjalan, sudah ada yang hilang kepercayaan dan menghukum terlalu awal. Setiap keputusan dipersoal, setiap tindakan dicurigai. Pada masa sama, ada juga yang terlalu taasub hingga menolak sebarang kritikan. Kedua-duanya tidak seimbang.
Islam sudah lama mengajar konsep amanah ini. Rasulullah SAW menegaskan apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka kehancuran akan berlaku. Ini menekankan kepentingan memilih yang layak.
Namun selepas amanah diserahkan, adab juga berubah. Jika sebelum ini kita menilai, selepas itu kita perlu menyokong dengan hikmah. Jika sebelum ini kita mengkritik, selepas itu kita menegur dengan beradab.
Di sinilah ramai yang gagal memahami sempadan antara hak bersuara dan adab menegur. Tidak semua kritikan membawa kebenaran dan tidak semua kemarahan melambangkan keberanian.
Dalam kerangka masyarakat rahmah, Islam mengajar kita untuk menegur tanpa menghina, mengkritik tanpa memfitnah dan berbeza pandangan tanpa kebencian.
Hari ini, media sosial menjadikan hampir semua orang seolah-olah pakar segera. Tanpa ilmu dan konteks, semua perkara diulas dan dihukum.
Akhirnya, lahirlah masyarakat yang bising tetapi kurang isi. Sedangkan membina negara memerlukan proses, masa dan tahap, sama seperti membaiki enjin yang rosak. Ia tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata.
Namun, ini tidak bermaksud rakyat perlu diam. Rakyat tetap perlu memantau, menilai dan bersuara. Tetapi semuanya mesti berasaskan fakta, bukan emosi.
Rakyat yang matang tidak mudah terpengaruh dengan naratif sensasi, tidak cepat menghukum tanpa bukti dan tidak menjadikan perbezaan sebagai alasan untuk membenci.
Kematangan masyarakat bukan diukur pada sejauh mana mereka mengkritik tetapi bagaimana mereka mengurus kepercayaan dan perbezaan dengan beradab. Negara tidak hanya dibina oleh pemimpin yang baik tetapi oleh rakyat yang bijaksana.
Barangkali, sudah tiba masanya kita kembali kepada asas yang mudah iaitu percaya kerana ada amanah dan menegur kerana ada tanggungjawab.
Tanpa kepercayaan, tiada yang dapat berjalan. Tanpa adab, semua yang berjalan akan runtuh. – UTUSAN
ATRIZA UMAR
Calon Ijazah Kedoktoran (Kepimpinan Wanita)
Open University Malaysia (OUM)










