BESUT: Seorang bekas jurutera teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki 12 dokumen pengenalan diri (Mykad) palsu, minggu lalu.
Aman Rasid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa memiliki 12 keping Mykad palsu tanpa kuasa sah atau sebab munasabah di sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, di sini kira-kira pukul 10.05 malam pada 23 April lalu.
Kesalahan itu didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dengan satu pertuduhan. Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Aman bersama seorang lagi rakannya, Mohd. Aiman Musa, 35, didakwa memiliki dadah berbahaya iaitu methamphetamine dengan anggaran berat kasar 7.11 gram.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi yang sama di Kampung Alor Lintang, Besut. Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun keseksaan.
Jika didapati bersalah boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun tetapi tidak lebih daripada lima tahun dan dikenakan hukuman sebattidak kurang tiga sebatang dan tidak lebih sembilan sebatan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua tertuduh. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar, dan disebut semula pada 2 Ogos ini..
Terdahulu, polis Terengganu dilapor menumpaskan sindiket pemalsuan MyKad selepas menahan dua suspek berusia 35 tahun dan 39 tahun dalam serbuan pada 23 April lalu di sini. – UTUSAN










