Bekas eksekutif jualan pecah amanah, songlap RM1.05 juta wang syarikat

Bekas eksekutif jualan pecah amanah, songlap RM1.05 juta wang syarikat

RAFIDAH Abdul Hamid selepas dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan pecah amanah antara 30 Mei 2022 hingga 15 Oktober, tahun lalu. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal kepada tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah berjumlah RM1,050,610 antara 30 Mei 2022 hingga 15 Oktober, tahun lalu.

Tertuduh, Rafidah Abdul Hamid, 48, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga bekas eksekutif jualan sebuah syarikat hartanah didakwa dengan curangnya melakukan pecah amanah dan telah menggunakan wang berjumlah antara RM73,000 hingga RM317,610 untuk kepentingan dirinya di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Ibrahim, di sini antara 30 Mei 2022 hingga 15 Oktober tahun lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 6 Mei depan untuk sebutan semula kes berkenaan

Sementara itu, berdasarkan fakta kes, seorang pengurus syarikat berusia 63 membuat laporan polis pada 31 Mac lalu selepas menerima panggilan daripada sebuah firma guaman berhubung satu perjanjian jual beli hartanah melibatkan dua individu.

Hasil semakan dalaman, syarikat mendapati tiada rekod rasmi berhubung urusan jual beli berkenaan direkodkan dalam sistem atau akaun syarikat.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh yang berkhidmat sejak 2021 dipercayai menerima sejumlah wang tunai daripada seorang pembeli pada Januari 2024, namun wang itu tidak diserahkan kepada bahagian akaun atau dimasukkan ke dalam akaun rasmi syarikat.

Tertuduh juga didakwa telah memalsukan tandatangan pegawai syarikat dalam dokumen perjanjian jual beli yang disediakan firma guaman bagi melengkapkan urusan berkenaan.

Selain itu, tertuduh turut dipercayai menggunakan modus operandi sama untuk menerima wang tunai daripada seorang individu lain pada tahun sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN