KUALA LUMPUR: Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dan Pengarah Syarikat Energy Eco Sdn. Bhd., Datuk Norliza Tajudin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM10.55 juta, lima tahun lalu.
Mohd. Daud yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) dan Norliza bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Pada Februari lalu, Mohd. Daud didakwa atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.
Pada prosiding hari ini, mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Mohd. Daud, 62, dan Norliza, 54, telah melakukan pecah amanah wang berjumlah RM10,550,000 milik empat pihak lain antaranya termasuk Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bersama-sama di dua bank berbeza di cawangan Setiawangsa dan Bangsar antara 2021 dan 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat serta denda. – UTUSAN










