Mengaku tidak bersalah pecah amanah wang pelabur lebih RM10 juta

Mengaku tidak bersalah pecah amanah wang pelabur lebih RM10 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tokoh Kewa­ngan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Ba­kar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang empat pelabur termasuk bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berjumlah RM10.55 juta, lima tahun lalu.

Turut didakwa bersama bekas Pe­nge­rusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) itu ialah Pengarah Syarikat Energy Eco Sdn. Bhd., Datuk Norliza Tajudin.

Mohd. Daud dan Norliza mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Pada 23 Februari lalu, Mohd. Daud didakwa atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.

Pada prosiding semalam mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Mohd. Daud, 62, dan Norliza, 54, yang masing-masing merupakan pengarah dan pemegang saham syarikat itu, telah melakukan pecah amanah di dua buah bank di Setiawangsa dan Bangsar antara 22 Jun 2021 dan 15 Mei 2024.

Selain wang pelaburan Mashitah berjumlah RM2 juta, pelabur-pelabur lain yang terlibat ialah Moideen Kunjayu dengan jumlah pelaburan RM600,000; Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad (RM1.95 juta) dan Myad Kapital Sdn. Bhd. (RM6 juta).

Kedua-dua tertuduh didakwa telah menggunakan wang tersebut dengan melanggar kontrak ‘Shareholder’s Advance Agreement’ berhubung perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.

Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili oleh peguam bela, Datuk Hamidi Mohd. Noh dan Zahidah Md. Zaman.

Terdahulu, Mahadi memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju dengan jaminan sebanyak RM100,000 serta seorang penjamin.

Mahadi turut memaklumkan, Mohd. Daud telah menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen lain bagi kes terdahulu.

Sehubungan itu, beliau memohon syarat tambahan serupa dikenakan terhadap Norliza iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, melapor diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan bermula Jun serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Zahidah kemudian memohon agar anak guamnya, Norliza dibenarkan membayar wang jaminan RM50,000 secara ansuran sebanyak dua kali.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 dan Norliza membayar jaminan secara ansuran bersama syarat tambahan ditetapkan.

Mahkamah menetapkan 19 Jun ini tarikh serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×