Empat penjawat awam tidak mengaku pecah amanah

Empat penjawat awam tidak mengaku pecah amanah

ISMAULRIDHA (depan) dan Mohamad Hasbullah berdepan pertuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Empat penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan pecah amanah, sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Khairil Hafiz Mohd. Nor, 43; Mohamad Hasbullah Abdul Khodir, 38, dan Ismaulridha Shalihan, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairil Hafiz sebagai Penolong Pegawai Rancangan Tanah Gred G29 merangkap pegawai pembayar secara tidak jujur telah melakukan pecah amanah jenayah dengan tidak menyerahkan wang pendapatan hasil berjumlah keseluruhan RM5,448 milik peneroka, Sapari Rulaman,79, kepada warisnya, Mohd. Zamri Sapari.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Felda Penggeli Timur, Bandar Tenggara, dalam Daerah Kulai pada bulan Jun dan Julai 2017.

Sementara itu, Mohamad Hasbullah sebagai Penyelia Rancangan Tanah Gred G19 merangkap pegawai pembayar turut berdepan enam pertuduhan yang sama membabitkan jumlah keseluruhan RM33,828.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat yang sama antara Ogos 2017 hingga Januari 2018.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seskyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari 20 tahun, dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Bagi Ismaulridha, Penyelia Rancangan Tanah Gred G19 itu yang diamanahkan dengan harta wang pendahuluan tunai hasil peneroka, Sapari didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu secara tidak jujur menjadikan harta itu bagi kegunaan sendiri membabitkan jumlah keseluruhan RM16,246.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Felda Penggeli Timur, Bandar Tenggara, di dalam Daerah Kulai antara Jun hingga Oktober 2017.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seskyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari 20 tahun, dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Mohamad Hasbullah turut berdepan dua pertuduhan yang sama membabitkan jumlah keseluruhan RM10,186 di lokasi yang sama pada November dan Disember 2017.

Pendakwaan terhadap Mohamad Hasbullah dilakukan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dari 10 tahun, dan dengan sebat, dan boleh dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Faizul Kamarozaman dan Ameera D’aneez Mohd. Shukari.

Mohd. Khairil Hafiz dan Ismaulridha diwakili peguam Muhammad Fahmi A. Jamil manakala Mohamad Hasbullah diwakili Sabrina Sharin.

Hakim membenarkan Ismaulridha diikat jamin sebanyak RM8,000 diikuti Mohamad Hasbullah (RM12,000) dan Mohd. Khairil Hafiz (RM7,000) dengan seorang penjamin warga tempatan serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 21 Ogos depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN