IPOH: Perak memberi jaminan bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan pesakit mencukupi sehingga Jun depan melibatkan semua fasiliti kesihatan awam di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, tiada masalah bekalan ubatan melibatkan 15 hospital, 86 klinik kesihatan dan 126 klinik desa di negeri ini walaupun berlaku kenaikan harga bahan api iaitu diesel ekoran ketidaktentuan geopolitik global kerana konflik Asia Barat.
“Tiada aduan diterima termasuk klinik swasta. Saya rasa ia tidak akan menjejaskan banyak kerana sebahagian besar ubat-ubatan kita (import) dari India. Jadi, India mengeluarkan hampir 35 peratus ubatan dunia dan murah.
“Kalau bukan dari Eropah, kita beralih ke India. Bercakap tentang peralatan, jentera adalah dari China. Perang tersebut hanya menjejaskan Eropah dan Arab,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Canning Machinery Solutions Sdn. Bhd. dan Chef Siew Cake Art & Culinary Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Ringan Kinta Jaya, Ipoh hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Urusan Canning Machinery Solutions Sdn. Bhd., Nang Yu Chuan dan Pengasas Chef Siew Cake Art & Culinary Sdn. Bhd., Esben Siew Kok Wai.
Kerjasama strategik itu untuk memperkasa elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penajaan mesin bakeri moden serta bahan penjenamaan bagi menyokong aktiviti latihan, pendidikan dan bakeri profesional.
Ia turut disokong oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Talent Perak yang memberi kemudahan kepada hampir 80 pelajar akademi kulinari tersebut.
Sivanesan berkata, Australia juga berpotensi sebagai alternatif ubat-ubatan untuk keperluan negara ini khususnya.
Tambah beliau, harga ubat-ubatan di fasiliti swasta di negeri ini masih kekal tiada sebarang perubahan. – UTUSAN










