SEREMBAN: Pihak UMNO Negeri Sembilan telah menghantar permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk memaklumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, permohonan itu telah dihantar petang semalam selepas 14 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional membuat pengisytiharan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.
“Sehingga kini, saya belum dititah untuk menghadap Yang di-Ppertuan Besar tetapi bersedia dipanggil pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita di Wisma UMNO di sini hari ini.
Menurutnya, UMNO sedang meneliti pelbagai pilihan untuk tindakan selanjutnya tetapi ia mesti selaras dengan peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Kita akan lihat pelbagai pilihan mengikut Perlembagaan yang dibenarkan untuk mengembalikan semula kestabilan kerajaan negeri berkaitan dengan polemik yang berlaku sekarang,” ujarnya.
Jalaluddin dalam pada itu mengulangi penegasan bahawa tindakan yang diambil UMNO dibuat selepas Aminuddin gagal bertindak secara berkesan dalam kemelut yang melanda istana dan Undang Yang Empat.
Katanya, isu itu dibiarkan berlarutan hingga menimbulkan perdebatan awam terutamanya di media sosial.
“Perdebatan yang tidak terkawal akhirnya memberi gambaran yang salah dan menjejaskan reputasi raja dan adat.
“Sebab itu kita sanggup hilang kuasa demi mempertahankan prinsip perjuangan UMNO mempertahankan institusi raja dan adat,” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan perjanjian yang pernah dimeterai antara UMNO dan PH sebelum bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan yang antara lain mempertahankan institusi raja dan adat Melayu.
“Apabila garis merah sudah dilintasi maka UMNO tidak boleh lagi berdiam diri sebaliknya bangkit mempertahankan agama, institusi raja dan adat yang menjadi teras perjuangan UMNO,” katanya. – UTUSAN










