KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Sovereign AI Cloud memerlukan pembangunan kepakaran tempatan bagi memastikan data negara dilindungi daripada risiko pendedahan kepada pihak luar yang tertakluk kepada undang-undang negara asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu juga bertujuan memastikan kedaulatan digital negara terus terpelihara tanpa menjejaskan dasar keterbukaan Malaysia dalam menerima pelaburan teknologi global.
Katanya, kerajaan mengambil langkah tersebut dengan menyeimbangkan keperluan keselamatan dan keterbukaan, khususnya dalam kerjasama melibatkan syarikat teknologi antarabangsa.
“Kita telah memutuskan untuk mewujudkan AI Sovereign Cloud. Data tertentu dihadkan dalam negara. Namun, Malaysia mengamalkan dasar terbuka dengan kerjasama seperti Google, Microsoft dan Amazon Web Services (AWS).
“Kita tidak bergantung sepenuhnya, tetapi dariPADA segi keselamatan dan data peribadi, kita perlu ada kawalan melalui Sovereign Cloud,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama pelajar Universiti UCSI pada Program Temu Anwar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan bagi memastikan pelaburan teknologi tinggi memberi manfaat langsung kepada negara.
Katanya, kerjasama antara industri dan institusi pendidikan diperkukuh bagi melahirkan tenaga mahir serta memperkasa keupayaan tempatan dalam bidang berkaitan.
“Isu bakat (talent) adalah cabaran besar. Apabila Invenio datang dengan pelaburan RM25 bilion di Pulau Pinang, mereka melihat potensi kelompok tempatan.
“Oleh itu, kita bekerjasama dengan universiti seperti Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mewujudkan sinergi dalam bidang kursus dan pembangunan universiti.
“Pelaburan syarikat IT mesti disertakan dengan peluang latihan, pendedahan serta penyediaan kemudahan teknologi tinggi di dalam negara. Jika sekadar latihan biasa, kita tidak akan terima,” katanya. – UTUSAN










