Program parallel pathway tingkat doktor pakar Perubatan Keluarga - Perdim - Utusan Malaysia

Program parallel pathway tingkat doktor pakar Perubatan Keluarga – Perdim

MIOR YUSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Program laluan selari atau parallel pathway perlu diberikan pengiktirafan dan diperkasakan kerana berupaya meningkat jumlah doktor pakar Perubatan Keluarga di negara ini yang berkurangan kira-kira 6,700 orang.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Mior Yusuf berkata, pada ketika ini, jumlah doktor pakar Perubatan Keluarga di negara ini hanya sekitar 1,300 orang sahaja berbanding 8,000 yang diperlukan.

Jelasnya, jumlah itu bagi mencapai kadar seorang doktor pakar Perubatan Keluarga kepada 4,000 orang penduduk (1:4,000) bagi lebih 32 juta rakyat negara ini.

“Sekarang hanya ada 1,300 doktor pakar Perubatan Keluarga, bermakna negara memerlukan 6,700 orang lagi bagi mencapai jumlah 8,000 doktor yang diperlukan.

“Melalui parallel pathway, program ini berupaya meningkatkan jumlah lulusan doktor-doktor pakar pelbagai bidang pada kadar lebih pantas bagi mencapai sasaran nisbah doktor pakar kepada jumlah penduduk yang menyamai atau hampir menyamai kadarnya di negara-negara maju.

“Buat masa ini, kadar bilangan doktor pakar Perubatan Keluarga kepada jumlah penduduk di negara maju seperti United Kingdom (UK), Australia dan Ireland adalah dalam lingkungan 1:2,000 iaitu 1:1,200 di UK; 1:1,000 di Australia dan 1:2,500 di Ireland,” katanya di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan isu parallel pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotorasik, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas MMA menolak permohonan empat pakar bedah kardiotorasik untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran Fellowship Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery (FRCS Ed) yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.

Untuk rekod, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotorasik.

Mengulas lanjut, Mior berkata, buat masa ini, program sarjana dalam bidang Perubatan Keluarga di universiti-universiti tempatan hanya dapat menghasilkan antara 100 hingga 150 graduan setiap tahun.

“Ia berbeza berbanding dua program parallel pathway di Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM) dan Program Latihan Malaysia-Ireland untuk Perubatan Keluarga (MInTFM) yang dapat menghasilkan kira-kira 200 orang graduan setahun,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia sudah pun membentangkan pelan reformasi sistem kesihatan kebangsaan dalam sidang Dewan Rakyat pada 15 Julai, 2023.

Katanya, ia antara lain menekankan kepentingan pemerkasaan sistem penjagaan kesihatan primer sebagai tunjang pemacu kejayaan dalam menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan jangka panjang, kesihatan mental dan kesihatan warga emas, rawatan dan pencegahan penyakit bukan berjangkit/kronik (NCD).

“Maka, soal latihan kepakaran melalui program parallel pathway terutama dalam bidang kepakaran Perubatan Keluarga ini perlu diberikan tempat dan pengiktirafan yang sewajarnya di negara ini.

“Ia perlu diperkasakan melalui penyertaan pelbagai pihak terlibat termasuklah sumbangan yang boleh dimainkan oleh pelbagai badan profesional dan persatuan perubatan seperti Perdim, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Persendirian Malaysia (FPMPAM), Persatuan Pengamal Perubatan Premier Malaysia (MPCAM).

“Usaha ini perlu bagi memastikan bahawa program-program parallel pathway ini bukan saja berkualiti, selamat dan memenuhi piawaian antarabangsa, malah akan turut menepati kehendak dan keperluan semasa negara pada kadar yang lebih pantas secara lebih tuntas dan berkesan melalui penglibatan pelbagai pihak,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, terdapat pelbagai kebaikan dan manfaat jangka panjang boleh diperolehi melalui program-program parallel pathway.

“Antaranya ia membuka peluang yang lebih meluas dan saksama kepada semua doktor yang berminat menyambung pelajaran di peringkat kepakaran dalam bidang masing-masing bagi menampung keperluan sistem kesihatan negara.

“Ia juga kaedah pembelajaran yang fleksibel serta mesra pelatih di hospital dan klinik di seluruh negara melalui kaedah pembelajaran secara dalam talian di samping kerja kursus, bengkel, seminar, latihan amali, buku log, penilaian di tempat kerja secara berterusan dan peperiksaan akhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN