PETALING JAYA: Kelewatan kerajaan membangunkan tenaga nuklear mengakibatkan negara kehilangan lebih 100 pakar tempatan dalam bidang tersebut yang berhijrah ke luar negara.
Ini sekali gus menjejaskan sumber tenaga masa hadapan sekiranya Malaysia mahu mewujudkan pelan pembangunan tenaga nuklear secara serius.
Selain itu, kewujudan pusat data dan pertumbuhan kenderaan elektrik dalam negara yang memerlukan banyak tenaga, ditambah peningkatan kos arang batu bagi menghasilkan tenaga elektrik, mendesak negara untuk menerokai industri tenaga nuklear.
Bekas pegawai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna, Dr. Lau How Mooi berkata, dasar kerajaan yang sering berubah menjadi antara faktor utama menghalang kemajuan bidang itu di Malaysia.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia berkata, tenaga nuklear bukan semata-mata isu teknologi, sebaliknya bergantung kepada keberanian politik dan dasar yang jelas bagi menentukan hala tuju jangka panjang tenaga negara.
“Masalah utama bukan pada kemampuan teknikal, tetapi pada keputusan politik. Jika Malaysia mempunyai dasar yang kukuh dan perancangan jelas, kita mampu membangunkan loji tenaga nuklear sendiri dan menjana pendapatan tambahan buat negara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah beliau, pendapatan negara boleh dijana melalui pembangunan industri tenaga nuklear dengan mewujudkan rantaian ekonomi baharu seperti pengeluaran bahan api nuklear, pembuatan komponen sistem reaktor, dan perkhidmatan teknikal kejuruteraan yang boleh dieksport ke negara lain.
“Negara seperti Korea Selatan dan China bukan sahaja membina loji tenaga nuklear untuk kegunaan domestik, malah mengeksport teknologi dan kepakaran mereka ke luar negara. Malaysia juga berpotensi ke arah itu jika ada komitmen jangka panjang,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, di sebalik keupayaan cemerlang anak watan dalam bidang nuklear, negara terpaksa menerima hakikat lebih 100 pakar berharga kini menabur bakti di bumi asing kerana peluang dalam negara masih terhad.
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin sebelum ini menyatakan, kepakaran mereka boleh ditarik balik sekiranya negara membangunkan loji tenaga nuklear sendiri pada masa hadapan.
How Mooi yang kini bersara sepenuhnya dan menetap di Malaysia turut berpandangan bahawa negara tidak boleh terus bergantung kepada bahan api fosil kerana permintaan tenaga dijangka meningkat seiring kemajuan industri digital dan pembangunan bandar.
“Negara seperti Korea Selatan dan China berani mengambil langkah membina loji tenaga nuklear baharu untuk mengurangkan pelepasan karbon. Malaysia juga tidak boleh ketinggalan jika mahu menjamin keselamatan tenaga masa depan,” katanya.
How Mooi menyertai IAEA selepas bersara daripada Agensi Nuklear Malaysia kerana mahu kekal aktif dalam bidang ini.
“Di sana, saya terlibat dalam pelbagai misi pemeriksaan tenaga nuklear di negara luar termasuk Jepun, Korea Selatan, China dan Iran. Peluang berkhidmat di bawah PBB memberi pengalaman baharu yang tidak mungkin diperoleh di Malaysia, termasuk memahami dasar tenaga dan keselamatan nuklear pelbagai negara,” katanya.
Sementara itu, Dr. Norasalwa Zakaria, 49, yang berkhidmat di IAEA sejak 2021, turut berkongsi pengalaman hampir sama apabila memilih untuk menyertai agensi antarabangsa itu selepas hampir dua dekad di Agensi Nuklear Malaysia.
Beliau memulakan kerjaya di Agensi Nuklear Malaysia pada 2002 sebagai pegawai penyelidik sebelum dilantik sebagai Pengurus Pusat Pembangunan Teknologi Sisa (Unit WasTeC), Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar (BAS), Nuklear Malaysia pada tahun 2013.
Menurutnya, keputusan berhijrah dibuat selepas menerima galakan daripada suami dan rakan sejawat bagi mencuba cabaran baharu dalam bidang yang melibatkan tanggungjawab dengan lebih 100 negara di bawah seliaan IAEA.
“Malaysia sebenarnya telah melahirkan ramai pakar dalam bidang aplikasi teknologi nuklear. Apa yang kita perlukan hanyalah dasar tenaga yang jelas, fokus berterusan dan perancangan jangka panjang yang tersusun,” katanya.
Beliau menambah, pengiktirafan terhadap kepakaran Malaysia dapat dilihat melalui penubuhan IAEA Collaborating Centre di Agensi Nuklear Malaysia, yang membuktikan kemampuan tenaga pakar tempatan diiktiraf di peringkat antarabangsa. – UTUSAN










