Pendekatan peralihan tenaga perlu dilaksana secara berperingkat

Pendekatan peralihan tenaga perlu dilaksana secara berperingkat

Peralihan tenaga
MOHAMMAD Yusof Apdal ditemui pada Majlis Pelancaran Kerjasama Tetra Pak dan Pure Mylk bagi menggalakkan industri minuman berasaskan tumbuhan, dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Peralihan sumber tenaga daripada pembakaran arang batu dan diesel kepada gas atau nuklear bagi grid bekalan elektrik nasional memerlukan pendekatan secara berperingkat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal berkata, kementeriannya dalam proses mengkaji dan meneliti penggunaan teknologi nuklear bagi penjanaan tenaga elektrik.

Katanya, negara maju yang menggunakan tenaga nuklear ketika ini mempunyai kelebihan berbanding Malaysia yang bergantung kepada sumber konvensional selain penjanaan melalui empangan ketika dunia berdepan krisis tenaga akibat ketidakstabilan di Asia Barat.

“Tentu kita sudah faham ada keperluan untuk kita mengkaji dan melihat kepada keperluan kepada penggunaan kaedah lain sama ada nuklear atau gas. Kalau di Sabah saya sebut gas lebih murah dan mampan.

“Sekarang, kalau di Sabah sebagai contoh kita banyak menggunakan diesel sudah tentu bila melihat di seluruh dunia sekarang, kosnya sangat tinggi dan ia akhirnya membebankan pengguna,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, negara ini perlu segera melaksanakan peralihan tenaga sebagai strategi jangka panjang bagi memastikan negara tidak terdedah kepada krisis sekiranya berlaku ketidaktentuan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara memerlukan pendekatan lebih mampan, pelbagai dan kos efektif dalam menguruskan sektor tenga.

Bagaimanapun, Mohammad Yusof memaklumkan, peralihan tersebut perlu dilakukan secara berperingkat supaya penggunaan sumber tenaga baharu dapat diterima dalam kalangan masyarakat.

“Seperti di Selangor, memang kita tidak pilih (belum putuskan) kawasan mana. Asalkan ia (tenaga nuklear) boleh dipakai, kenapa tidak. Seperti Perdana Menteri sebutkan, peralihan itu pendekatan yang baik untuk negara supaya kita lebih mampan, ekonomi baik dan masyarakat tebela.

“Itu memang kita harap rakyat juga akan faham apabila kerajaan membuat sesuatu ke arah yang memastikan yang kita boleh membela rakyat, kita harus bersama-sama,” ujarnya.

November tahun lalu, kerajaan Selangor menjangkakan untuk melaksanakan penjanaan tenaga melalui teknologi nuklear seawal lima tahun lagi sebagai sumber yang bersih dan boleh diperbaharui.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan sedang membina kapasiti dan akan menghantar beberapa pegawai yang lahir daripada fakulti atau bidang kejuruteraan berkaitan nuklear. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN