KANGAR: Malaysia tidak perlu bimbang mengenai bekalan beras untuk menampung keperluan di negara ini memandangkan beras dunia mempunyai lebihan sehingga 100 juta tan metrik.
Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, sekiranya hasil beras negara tidak mencukupi ekoran faktor kemarau, Malaysia boleh mengimport beras dari negara luar khususnya India yang mempunyai lebihan sehingga 30 juta tan metrik.
Beliau tidak melihat faktor kemarau atau kenaikan harga diesel ketika ini mengganggu bekalan beras negara, sebaliknya masalah berkenaan hanya menjejaskan petani.
Katanya, Perlis dan Kedah yang terjejas dengan cuaca panas ketika ini hanya menyumbang 55 peratus beras negara atau 450,000 sehingga 500,000 tan metrik semusim.
“Cuaca panas ketika ini sememangnya memberi kesan kepada petani tetapi tidak menjejaskan keperluan beras. Jika beras di negara tidak mencukupi, boleh import beras di negara-negara luar yang mempunyai banyak lebihan.
“Selain India, Vietnam antaranya juga mempunyai lebihan sehingga lima juta tan metrik beras,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, pesawah di tiga buah negeri mungkin menangguhkan penanaman padi yang dijadual pertengahan bulan ini ekoran cuaca panas melampau selain kenaikan harga diesel.
Keadaan itu menyebabkan mereka bimbang dengan padi yang mungkin tidak menjadi dan peningkatan kos penanaman yang tinggi.
Ia turut menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan beras Malaysia bagi menampung keperluan rakyat di negara ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu memberi jaminan bekalan beras mencukupi sehingga hujung tahun dan turut mengingatkan kestabilan pasaran dapat dikekalkan jika pengguna terus membeli seperti biasa, mengikut keperluan harian.
Marzukhi Othman berkata, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik atau menyimpan beras secara berlebihan memandangkan sumber beras sememangnya tidak mempunyai masalah pada masa ini.
Katanya, pembelian panik boleh menyebabkan stok yang sepatutnya mencukupi untuk tempoh lebih lama habis dalam masa singkat.
“Beras banyak, tidak perlu bimbang. Isu kemarau dan kenaikan harga diesel ketika ini hanya memberi kesan kepada pesawah sahaja.
“Bekalan air sememangnya sangat penting untuk kerja-kerja penanaman padi ini. Apabila sumber air tiada ia akan memberi kesan kepada proses penanaman padi ini.
“Namun sejak kelmarin, saya lihat hujan sudah mula turun dan masalah kemarau atau kekurangan sumber air ini mungkin akan kembali pulih selepas ini,” katanya.
Sementara itu, seorang pesawah, Mohd. Ridzuan Hashim, 40, berkata, kenaikan harga diesel dan cabaran sumber bekalan air, memberi kesan kepada pesawah yang bakal menanggung kerugian jika meneruskan tanaman.
Katanya, pada masa ini, kebanyakan pesawah terpaksa menunggu bekalan air masuk terlebih dahulu sebelum memulakan tanaman.
“Musim ini, pesawah bukan sahaja terpaksa berdepan masalah air tetapi turut terpaksa menerima hakikat kenaikan harga diesel yang bakal menyaksikan kos operasi meningkat lebih 50 peratus. Kita harap, isu kenaikan harga diesel itu akan dapat ditangani oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN










