Bekalan bahan api, mentah masih terkawal - Anwar

Bekalan bahan api, mentah masih terkawal – Anwar

ANWAR Ibrahim (tengah) bersalaman dengan penyokong PKR selepas menghadiri Mini Konvensyen PKR di Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Bekalan bahan mentah dan bahan bakar Malaysia masih terkawal walaupun berdepan konflik Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ketika ini kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan yang berbentuk ‘pakej stimulasi’ bagi mengurangkan kesan konflik berkenaan ke atas rakyat dan ekonomi negara.

Kata beliau, satu mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) diadakan esok bagi membincangkan lagi tindakan bersesuaian.

“Sekarang ini (kita buat) stimulasilah itu. (Umpamanya) Minyak (petrol RON95) pada RM1.99 seliter dan bantuan minyak diesel untuk pengangkutan bas sekolah. Itu bantuan.

“Esok kita akan adakan mesyuarat lagi dengan MKN dari segi keselamatan dan MTEN dari segi ekonomi. Kita terus bincang saban hari untuk cari jalan kalau perlu apa-apa tindakan. Tetapi setakat ini bekalan masih terkawal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mini Konvensyen PKR Terengganu, di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula penyelarasan bajet atau mengumumkam sebarang pakej stimuasi berikutan Malaysia dijangka berdepan tempoh kritikal pada Jun dan Julai ini dalam usaha memastikan bahan mentah serta bahan api dapat terus dibekalkan susulan konflik di Asia Barat.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis berkenaan, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, prestasi setiap cabang akan dinilai sebagai antara faktor utama dalam menentukan pemilihan calon parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, selain prestasi cabang, kekuatan jentera parti dan keaktifan anggota di peringkat ranting turut menjadi pertimbangan penting.

Menurutnya, pemilihan calon tidak bergantung kepada jawatan yang disandang dalam parti.

“Soal pemilihan calon tidak tertakluk kepada jawatan. Mereka yang memegang jawatan tidak semestinya dipilih sebagai calon.

“Kita akan menilai kekuatan sesuatu kawasan dan memberi pertimbangan kepada cabang yang mempunyai ranting aktif serta mampu menggerakkan kerja parti dengan berkesan,” katanya.

Beliau meluahkan keyakinan terhadap perkembangan semasa PKR di Terengganu yang disifatkan semakin menunjukkan momentum positif.

“Nampak saya gembira? Saya gembira kerana Keadilan (PKR) Terengganu menunjukkan perkembangan yang hebat. Kita perlu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Untuk menang, kita mesti bekerja kuat,” ujarnya.

Katanya, Terengganu mempunyai potensi yang baik untuk PKR mencipta kejutan pada PRU16.

Menurut beliau, gerak kerja parti itu di Terengganu kini memperlihat semangat baharu yang diyakini mampu memberi saingan lebih sengit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN