KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan dua sebatan ke atas seorang kelindan lori selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki, bulan lalu.
Muhammad Firdaus Zamri, 30, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dikenakan penjara empat tahun dan dua sebatan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian ke atas Muhammad Adamdanial Abdul Khafidh dengan niat hendak menyebabkan suatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Banggol Katong, di sini, kira-kira pukul 6 petang pada 11 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Muhammad Firdaus didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap mangsa yang sama dengan menggunakan sebatang rotan di lokasi dan masa yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Hafizuddin Abdul Haris.
Suasana di kamar mahkamah turut bertukar hiba apabila Nur Aisyah menangis ketika mengemukakan hujahan pemberat terhadap tertuduh yang juga merupakan keluarga angkat mangsa.
Dalam hujahannya, katanya, mangsa yang baru berusia tiga tahun sembilan bulan itu masih terlalu kecil dan sepatutnya berada di bawah jagaan serta perlindungan orang dewasa.
“Kanak-kanak seusia itu masih memerlukan penjaga untuk menjadi pelindung bukannya menjadi mangsa kepada perlakuan yang kejam,” katanya.
Pada 23 April lalu, Muhammad Firdaus membuat pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan menyebabkan kematian dan sengaja mendatangkan cedera dibacakan terhadapnya. – UTUSAN










